CENTEXS pusat latihan teknologi 5G pertama di Malaysia
Astro Awani
Ogos 13, 2020 16:32 MYT
Ogos 13, 2020 16:32 MYT
Sarawak bakal memiliki Pusat Latihan Teknologi 5G pertama di Malaysia dengan penglibatan kursus relevan bagi membangunkan pengaturcaraan (Programming) di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Syeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman, ini sekali gus membolehkan ia diaplikasi untuk pembangunan bandaraya pintar.
Tambahnya, teknologi ini penting dalam menghasilkan bakat-bakat tempatan yang mampu mengemudi negeri ini dalam menjayakan aspirasi menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.
“Teknologi 5G ini penting bagi pelajar-pelajar khususnya untuk mendalami dan seterusnya mampu mengadaptasi kepada perubahan dalam menghasilkan pelbagai peranti lebih canggih.
“Ini termasuk teknologi pengecaman wajah (facial recognition), kita ingin melihat bakat tempatan tampil membangunkan teknologi ini untuk kegunaan pembangunan bandar pintar,” katanya.
Sementara itu ujarnya, kemasukan teknologi dari Amerika Syarikat dan China ke CENTEXS secara tidak langsung menjadikan Kuching sebagai perantaraan dua kuasa besar teknologi dunia.
Ia membolehkan CENTEXS berperanan sebagai landasan neutral bagi kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam kemajuan teknologi serta pengembangan bakat.
“Ini adalah politik perdagangan antarabangsa dan kami (CENTEXS) harus mainkan peranan. Huawei tidak boleh menembusi pasaran IBM, Google dan semua syarikat dari Amerika Syarikat lain dengan sendirinya.
“Peluang ini baik bagi CENTEXS dan ini akan membolehkan kerjasama Amerika Syarikat dan China,” katanya.
#Amerika Syarikat
#AWANI Sarawak
#bandar pintar
#CENTEXS
#China
#facial recognition
#Sarawak
#Sarawak Maju 2030
#teknologi 5G