Cendol Kak Moh menjadi rebutan ketika bulan Ramadan
Muhafandi Muhamad
April 25, 2021 10:11 MYT
April 25, 2021 10:11 MYT
GUA MUSANG: Cendol yang dihasilkan seorang warga emas di Kampung Lembaga di Gua Musang, Kelantan sering mendapat permintaan tinggi setiap kali bulan Ramadan.
Ini kerana Rahmah Awang, 73, atau lebih dikenali sebagai Kak Moh berjaya mengekalkan rasanya kerana menggunakan bahan asli seperti daun pandan dan kapur buatan sendiri.
Kak Moh berkata, kebiasaannya dia mula memproses cendol seawal jam 7 pagi sebelum dijual kepada pemborong dan penduduk kampung di sekitarnya.
Katanya, bagi menghasilkan cendol yang sedap, dia perlu memastikan tepung beras dimasak di atas api selama lebih tiga jam.
"Kak Moh buat kuih ikut cara sendiri, Kak Moh tidak tiru orang lain, tidak ambil resepi orang.
"Mula dulu guna tempurung kelapa, selepas itu baldi yang ditebuk, selepas itu upah orang.
"Sekarang rasa nak rehat, sudah tak larat dah," katanya.
Sepanjang bulan Ramadan ini Kak Moh menggunakan empat buah periuk untuk memasak 70 kilogram tepung beras.
Kak Moh berkata, walaupun harga barang mentah meningkat namun harga cendolnya masih berpatutan apabila dijual dengan harga RM10 bagi 13 bungkus.