Cendekiawan Islam, universiti berperanan realisasikan Dasar Manhaj Rabbani - Perdana Menteri

Hasimi Muhamad
Jun 8, 2021 16:50 MYT
Perdana Menteri berkata, ia termasuk mengambil kira keperluan pihak universiti untuk memupuk adab dan nilai yang baik dalam kalangan siswa dan siswi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Cendekiawan Islam dan universiti tempatan memainkan peranan penting dalam merealisasikan Dasar Manhaj Rabbani, sekali gus membantu mewujudkan suasana pentadbiran Islam yang lebih beretika dan tinggi nilai kerohaniannya di negara ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain itu juga ia mengambil kira keperluan pihak universiti untuk memupuk adab dan nilai yang baik dalam kalangan siswa dan siswi.
Tambah Perdana Menteri, selain itu universiti di negara ini harus melahirkan cendekiawan dan golongan profesional yang berani mengkritik kekurangan dalam sains, ideologi dan teknologi sedia ada, serta mewujudkan sumbangan dalam pelbagai bidang.
"Saya percaya melalui platform seperti Persidangan Antarabangsa dalam Pengajian Islam Kontemporari (ICIS2021), lebih ramai cendekiawan Islam dan penyelidik mampu memimpin wacana dan panduan tentang sejauh mana tindak balas terbaik kepada pelbagai gangguan yang dihadapi dunia ketika ini.
“Sememangnya dinamika ini menjadi nilai tambah yang dapat membantu menyasarkan pihak berkepentingan termasuk para pelajar.
“Apabila ia dilaksana dengan sebaiknya melangkaui komuniti, pandangan Islam dan kajian boleh menguatkan keharmonian dan mewujudkan ekosistem yang aman, tanpa mengira etnik dan agama," kata Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan sempena ICIS2021 anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM), hari ini.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri berkata negara Islam perlu bergerak lebih proaktif untuk memastikan perspektif dunia Islam dikaji secara menyeluruh bagi menjamin rahmat Allah SWT kekal menjadi keutamaan.
Sehubungan itu katanya, kerajaan telah menerima pakai pendekatan Manhaj Rabbani yang menjadi keseluruhan kerangka dasar bagi hal ehwal Islam di negara ini.
Jelas beliau, dasar tersebut bagi memberikan lebih kesahihan dan bukti kepada pembangunan negara pada abad ke-21.
Muhyiddin menambah, selaku universiti terbesar negara, UiTM berada pada kedudukan yang baik untuk menerajui wacana Islam kontemporari.
Selain melahirkan graduan yang lebih dinamik dan menyumbang kepada pembangunan negara dalam pelbagai bidang, ujar beliau.
"Maka pentingnya kerjasama pintar, seminar, dan persidangan dialog universiti-industri yang berteraskan penyelidikan ditawarkan kepada rakyat Malaysia dari pelbagai sektor.
"Selain itu, (menawarkan) penyelesaian praktikal dan responsif menggunakan teknologi baharu yang dapat meningkatkan kualiti hidup kita," katanya.
Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan Dasar Manhaj Rabbani yang berpaksikan tiga ciri utama, Thaqafah (keilmuan), Ruuhaniyyah (kerohanian) dan Da'wah (aktivisme).
#Muhyiddin Yassin #UiTM #Islam komtemporari #Manhaj Rabbani #pengajian islam #Sejarah Islam #graduan #PKP 3 0
;