Cemas rumah sewa dihuni dua keluarga ditimbus tanah runtuh

Norfarhiza Mohd Atar
Disember 11, 2022 07:45 MYT
Keadaan tebing yang runtuh dan nyaris menghempap dua rumah di Kampung Mela di sini pada awal pagi Ahad. -Astro AWANI
LIPIS: Dua keluarga berhadapan detik cemas apabila rumah sewa didiami mereka ditimbus tanah runtuh ketika hujan lebat di Kampung Mela, dekat sini, pada petang Sabtu.
Abdul Aziz Idris, 51, berkata kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu berlaku ketika dia dan keluarga sedang berehat menonton televisyen selepas menunaikan solat Maghrib.
"Masa kejadian, hujan turun dengan lebat dan secara tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian dapur dan anak mulai menjerit ketakutan.
"Saya bergegas ke dapur dan mendapati pintu (dapur) telah terbuka dengan sebahagian runtuhan tanah telah masuk ke dalam rumah serta masih ada tanah hampir menutupi ruang belakang," katanya di Kampung Mela pada Ahad.
Tambah Abdul Aziz, dia segera membawa isteri dan tujuh orang anaknya keluar dalam keadaan masih hujan termasuk dokumen penting kerana bimbang runtuhan tanah berulang dan kemungkinan menghempap keseluruhan struktur rumah.
"Saya membawa keluarga menumpang bermalam di rumah ibu di Kampung Limau Purut dekat sini sebelum kerja pembersihan dan membaik pulih diselenggarakan oleh pemilik rumah berkenaan," katanya.
Tanah Runtuh | Cemas rumah sewa dihuni dua keluarga ditimbus tanah
Abdul Aziz berkata, kejadian itu pertama kali berlaku sejak dia menyewa rumah di bawah kawasan berbukit dua tahun lalu dan tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku.
Dalam pada itu, jiran Abdul Aziz yang menyewa rumah bersebelahan, Mohamad Sayuti Zulkafli, 30, berkata, ketika kejadian dia juga berada di ruang tamu bersama tiga anaknya menonton televisyen.
"Kejadian ini sama seperti jiran saya, Abdul Aziz, apabila tiba-tiba terdengar bunyi yang kuat dari arah dapur dan keseluruhan rumah sewa ini bergegar di bahagian bumbung dan atap.
"Anak yang duduk berdekatan mula menangis ketakutan dan saya bangun terus ke dapur dan melihat sebahagian tanah sudah memenuhi ruang dapur dan air hujan mengalir masuk," katanya.
Pekerja ladang sawit itu berkata, dia membawa isteri dan anaknya keluar dan tinggal buat sementara di rumah kakaknya yang terletak di Taman Selinsing, Kampung Mela.
Tambahnya, kejadian yang pertama kali ditempuh keluarganya itu berkemungkinan berpunca daripada aliran air yang menuruni bukit ketika hujan lebat beberapa hari lalu yang menyebabkan berlakunya tanah runtuh.
"Saya bersyukur kerana semua ahli keluarga termasuk jiran saya selamat tanpa sebarang kecederaan.
"Saya berharap dapat kembali semula ke rumah sewa selepas kerja pembersihan hari ini," ujarnya.
#tanah runtuh #Kampung Mela #Abdul Aziz Idris #Mohamad Sayuti Zulkafli
;