Cemas! Paip gas bocor bukan meletup

Astro Awani
Januari 10, 2018 14:08 MYT
Borneo Post melaporkan, penduduk yang tinggal sekitar 500 meter dari paip berkenaan berdepan situasi cemas selepas mendengar letupan. - Gambar Astro AWANI
Syarikat petroleum negara, Petronas mengesahkan bahawa berlaku kebocoran salur paip gas dan bukannya letupan pada saluran Sabah Sarawak (SSGP) pada jam 2.24 pagi tadi di Long Luping, di sini.
Dalam kenyataan ringkas Pejabat Petronas Wilayah Sabah dan Labuan, keadaan terkawal selepas pasukan Tindak Balas Kecemasannya (ERT) telah diaktifkan.
“Kebocoran itu tidak meninggalkan impak terhadap penduduk dan persekitaran kawasan tersebut setakat ini dan siasatan lanjut masih diteruskan," menurut kenyataan itu.
Bagaimana pun Borneo Post melaporkan, penduduk yang tinggal sekitar 500 meter dari paip berkenaan berdepan situasi cemas selepas mendengar letupan.
Tambah laporan itu lagi, beberapa individu turut mengalami sesak nafas dan 89 murid SK Long Luping juga terpaksa dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Negeri mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Astro AWANI masih menunggu laporan dari Petronas berhubung siasatan kebocoran tersebut.
#bocor #bomba #kemalangan #Lawas #letupan #Long Luping #paip gas bocor #Paip gas Petronas Lawas #Petronas #siasatan
;