Cemar sungai: Warga China berdepan denda RM10 juta - JAS

Bernama
Ogos 9, 2024 15:09 MYT
Pertuduhan di bawah Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 (AKAS) yang dibaca bersama Seksyen 25(1) akta yang sama. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Seorang warga China berdepan denda RM10 juta dan hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun, atas kesalahan melepaskan buangan bahan kimia ke dalam perairan daratan berhampiran kawasan perindustrian Jalan Kampung Orang Asli, Kuang, Selangor, bulan lepas.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata lelaki berusia 42 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor hari ini.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu sehingga menyebabkan insiden pencemaran bau dan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 pada 23 Julai.
Pertuduhan di bawah Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 (AKAS) yang dibaca bersama Seksyen 25(1) akta yang sama.
Beliau berkata pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Selangor Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin bersama Timbalan Pendakwa Raya JAS Nurliyana R Azmi.
"Hakim Nor Rajiah tidak membenarkan permohonan jamin terhadap tertuduh dan menetapkan 10 Sept sebagai tarikh serahan dokumen," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 23 Julai, media melaporkan lebih 1,000 kawasan di tujuh wilayah di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, disebabkan henti tugas empat LRA susulan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah, Selangor.
Wan Abdul Latiff berkata tindakan tegas di bawah AKAS, akan dikenakan kepada mana-mana pihak termasuk pemain industri yang didapati melakukan pencemaran alam sekitar.
AKAS 1974 yang telah dipinda dan mula dikuatkuasakan pada 7 Julai 2024, memberi keutamaan kepada pindaan hukuman, denda dan penalti dengan melibatkan julat kadar denda antara RM5,000 dan RM10 juta selain penjara mandatori tidak melebihi lima tahun.
Kadar kompaun turut ditingkatkan daripada maksimum RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum kesalahan berkaitan.
-- BERNAMA
#Jabatan Alam Sekitar #loji rawatan air #Mahkamah Sesyen #pencemaran bau