CelcomDigi perkenal logo korporat baharu, aspirasi jadi jenama dipercayai
Astro Awani
Oktober 20, 2023 19:23 MYT
Oktober 20, 2023 19:23 MYT
KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan telekomunikasi, CelcomDigi Bhd (CelcomDigi) memperkenalkan logo korporat baharunya selepas 10 bulan penggabungan antara Celcom Axiata Bhd dan Digi.com Bhd (Digi).
Logo baharu di bawah jenama CelcomDigi itu juga merupakan sebuah manifestasi terhadap aspirasi kumpulan untuk menjadi rakan kongsi yang dipercayai pelanggan serta rakyat Malaysia dalam inovasi serta pendigitalan.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, sejak termeterainya penggabungan dua syarikat itu, mereka telah memperkenalkan pelbagai perkhidmatan, penyelesaian dan inovasi baharu secara progesif.
"Pelancaran ini lebih daripada sekadar lambang baharu. Jenama korporat baharu ini turut menggambarkan permulaan lembaran yang unggul untuk pelanggan dan negara yang memperkasakan organisasi ini setiap hari.
"Pembaharuan ini adalah didorong semangat jenama CelcomDigi iaitu 'Mencipta dunia yang diinspirasikan oleh anda', dengan menerapkan tiga prinsip asas, iaitu dinamisme, mengutamakan pelanggan dan kecemerlangan," katanya selepas majlis pengenalan logo baharu CelcomDigi di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Idham turut menyatakan kumpulan itu berhasrat untuk mengangkat CelcomDigi sebagai ikon inovasi baharu negara sebagai sebuah institusi yang mempunyai skala serta sumber untuk menjadi penggerak kepada pertumbuhan digital negara, mengembangkan bakat tempatan, membangunkan ekosistem digital tempatan, menyediakanpenyelesaian, tawaran serta pengalaman terbaik.
Di samping itu, kumpulan juga katanya, ingin menjadi jenama yang boleh dipercayai dalam era masa kini yang segalanya digital.
Mengulas lanjut, di sebalik kerancakan dalam memenuhi janji berdasarkan pada skala, pengalaman, sumber dan bakat, beliau memberitahu, pelanggan masih menjadi fokus utama CelcomDigi.
Menurutnya, penyepaduan efisien kesemua kedai Celcom dan Digi serta saluran perniagaan telah membolehkan mereka memberi perkhidmatan yang lancar kepada semua pelanggan.
"Ini membolehkan kami untuk terus meningkatkan perkhidmatan pelanggan, membawa lebih nilai serta lebih banyak produk penumpuan buat mereka, menerusi rangkaian terbesar dan terpantas di Malaysia.
"Kami amat teruja untuk terus mengorak langkah ke hadapan, dan pelanggan boleh menjangkakan lebih banyak lagi tawaran akan datang daripada CelcomDigi,” tambah Idham.
Sementara itu, Idham menjangkakan proses integrasi syarikat antara rangkaian Celcom dan
Digi akan mencapai 30 peratus menjelang akhir tahun ini.
Menurutnya, keseluruhan integrasi rangkaian itu kini sedang berjalan dan dijangka selesai dalam tempoh 24 hingga 30 bulan akan datang dengan menggabungkan 12,000 tapak masingmasing daripada Celcom dan Digi menjadi satu rangkaian terbesar sebanyak 18,000 tapak.
"Sebanyak 30 peratus akan dilakukan tahun ini, manakala 40 peratus tahun depan dan baki 30 peratus pada tahun ketiga, dan ia dilihat berjalan dengan baik.
"Sudah tentu, terdapat pelaksanaan integrasi lain yang berlaku dalam persekitaran platform teknologi maklumat (IT) dan sebagainya. Begitu juga, ia akan mengambil masa antara 20 hingga 24 bulan untuk sistem mula beroperasi," katanya lagi.
Pada April 2023, syarikat itu memulakan program berskala penuh untuk membina rangkaian digital masa depan Malaysia dengan menyepadukan dan memodenkan rangkaian 4G terluas dan terpantas di Malaysia dengan teknologi evolusi jangka panjang (LTE) dan 5G terkini.