Cekik adik dan tolak ibu, buruh dipenjara 4 tahun
Muhafandi Muhamad
Disember 16, 2021 18:02 MYT
Disember 16, 2021 18:02 MYT
KOTA BHARU: Seorang buruh dipenjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Kota Bharu hari ini, atas pertuduhan mencekik dan memukul adik perempuan serta menolak ibunya, 8 Disember lalu.
Tertuduh, Mohd Khairool Fadli Zakaria, 35, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencekik dan memukul adiknya berusia 32 tahun dengan menggunakan tangan dan kerusi kayu serta sengaja menolak ibunya berumur 58 tahun dengan tangan di Kampung Raja Padang Salim, Peringat, di sini jam 9 pagi, pada 8 Disember lalu.
Menurut fakta kes, lelaki itu menuduh adiknya mengusik barang miliknya walaupun ketika itu, ibu dan adiknya mahu membuang sarang tikus di dalam almari lama.
Tertuduh kemudian marah dan mencekik leher serta memukul adiknya dengan menggunakan kerusi di atas kepala sebelum menolak ibunya hingga jatuh ke lantai.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.