'Cek RM12 juta bukan duit haram' - Raja Nong Chik
Astro Awani
Februari 3, 2015 17:52 MYT
Februari 3, 2015 17:52 MYT
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin kesal dengan sikap sesetengah pihak yang meragui kemampuan orang Melayu berniaga.
Raja Nong Chik menyatakan kekesalannya terhadap pendedahan yang dibuat anggota PKR yang digantung keahlian, Badrul Hisham Shahrin atau CheguBard yang mempersoalkan cek bernilai lebih RM12 juta yang diterima atas namanya dan isteri.
Katanya, cek yang dimaksudkan oleh CheguBard itu merupakan aset miliknya yang sah, hasil perniagaan dan pelaburannya selama ini.
“Itu saya punya aset sendirilah. Sebelum saya menteri, saya dah ada dah aset tersebut. Itu persendirian. Saya dah berniaga lebih 30 tahun. Dalam perniagaan dan pelaburan saya, semua saya isytihar semasa jadi menteri.
“Semua ada rekod. Bukan duit haram,” katanya kepada Astro AWANI.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga dipetik sebagai berkata beliau merupakan peniaga tulen yang sejak 30 tahun lalu memperjuangkan legasi Melayu dalam arena perniagaan.
Katanya, rekod perniagaannya dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan boleh diperiksa jika ada mana-mana pihak yang sangsi tentang sumber kewangan itu.
“Tak mungkin tiada orang Melayu yang berjaya dalam perniagaan, apatah lagi saya sudah berniaga lebih 30 tahun, yang sebelum itu dimulakan bapa saya.
“Bapa saya pun ada aset sampai beratus juta. Kalau itu pun orang Melayu tak boleh buat, siapa lagi Melayu yang nak berniaga ini? Orang Melayu tak boleh berniaga ke?” soal beliau.
Menjelaskan gambar cek yang dimuat naik di blog CheguBard itu, Nong Chik berkata ia deraf bank yang dipindahkan dari satu bank ke bank lain bagi memastikan dividen bulanan tidak terlepas.
“Bank deraf itu dikeluarkan dari Maybank. Ada pelaburan yang saya tukar dari CIMB kepada Amanah Saham yang disyaratkan menggunakan bank deraf, supaya tidak terlepas satu bulan dividen," katanya.
Raja Nong Chik juga dipetik sebagai berkata bersedia untuk bertemu CheguBard agar persoalan yang diutarakan menerusi blognya terjawab.
“Saya bersedia berjumpa dengannya supaya ditarik balik kenyataan itu. Kalau tidak, mungkin saya kena ambil tindakan undang-undang kerana ia menjejaskan reputasi saya.
“Tiada apa yang saya mahu sorokkan,” katanya.
Selain itu, beliau juga mendesak CheguBard agar membuat permohonan maaf atas tindakan beliau yang membuat tuduhan tanpa memeriksa kebenaran terlebih dahulu.
"Saya sudah bercakap dengan peguam saya, dan kita menunggu sama ada CheguBard akan membuat permohonan maaf atau tidak sebelum tindakan lanjut diambil.
"Kalau dia minta maaf, tidak perlu saya buat tindakan lanjut," jelas beliau.
Menerusi blognya, CheguBard mempersoalkan kemampuan seorang bekas menteri mampu memiliki aset bernilai jutaan ringgit.
“Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) teruslah tutup mata, rakyat bodoh bawah ini kamu hambat dengan cukai pelbagai tetapi yang di atas itu berapa ya cukai yang dibayarnya?
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) teruslah membuta, lebih baik tangkap kes sarjan ambil rasuah RM50 banyak-banyak untuk turunkan indeks rasuah negara.
“Senang kerja dari tangkap jerung siasat bagai nak gila akhirnya buang kes pula,” katanya menerusi blognya chegubard.blogspot.com.