Cegah Omicron: Sistem pagar automatik di lapangan terbang ditutup serta-merta

Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 1, 2021 18:59 MYT
Tindakan drastik terbaharu itu adalah langkah untuk mengekang penularan varian Omicron daripada memasuki negara ini. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil beberapa langkah keselamatan lebih drastik bagi mengekang penularan varian baharu COVID-19, Omicron, daripada memasuki negara ini.
Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, ia termasuk terpaksa menghentikan sementara penggunaan sistem pagar automatik yang ada di lapangan terbang serta-merta.
"Selain itu, penerbangan yang membawa penumpang dari negara yang melaporkan penularan varian membimbangkan (VOC) Omicron yang disenaraikan, hanya dibenarkan masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," jelasnya pada sidang media pada Rabu.
[TERKINI] Sidang Media Menteri Kesihatan | 1 Disember 2021
Jelas beliau, sekiranya ia terus dibuka, pihak Jabatan Imigresen tidak akan mampu mengetahui seseorang pengembara itu pernah mengunjungi mana-mana negara yang mungkin mempunyai risiko terhadap varian terbaharu yang berbahaya itu.
"Pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) juga perlu menyediakan laluan khas bagi pengembara berkenaan serta syarikat penerbangan perly bertanggungjawab mengenal pasti pengembara dari negara yang melaporkan penularan Omicron atau berisiko tinggi yang menaiki penerbangan mereka," katanya lagi.
#COVID-19 #Khairy Jamaluddin #KLIA #MAHB
;