Cederakan wanita guna parang, bekas pencuci kereta dipenjara setahun
Bernama
Mac 6, 2017 17:00 MYT
Mac 6, 2017 17:00 MYT
Gara-gara mencederakan seorang wanita dengan sebilah parang, seorang bekas pencuci kereta dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman tersebut terhadap M. Meganathan, 29, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas G. Hemalatha, 24, sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian atas bibir dan tepi lengan wanita itu.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 4 Ogos tahun lalu.
Tertuduh yang kini sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun dengan dua sebatan di Penjara Kajang atas kesalahan samun, melakukan kesalahan itu di Taman Putra Damai, Ara Damansara, di sini pada 5 petang, 25 Mei tahun lepas.
Dia yang memakai baju penjara didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh mengambil kira faktor kecederaan yang dialami mangsa.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia penanggung utama keluarga dan menjaga kedua ibu bapanya yang menghidap penyakit kencing manis.
-- BERNAMA