Cederakan isteri dengan rotan: Pemilik restoran dipenjara 10 tahun, empat sebatan
Petrus Bernard
April 13, 2022 16:18 MYT
April 13, 2022 16:18 MYT
TAWAU: Seorang pengamal perubatan Islam yang juga pemilik sebuah restoran dijatuhi hukuman penjara 10 tahun serta empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Tawau hari ini kerana bersalah mencederakan isterinya menggunakan sebatang rotan berukuran 83 sentimeter pada minggu lalu.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Faizal Md Yusuf, 34, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Faizal didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Siti Nur Ajeerah lama, 32, menggunakan sebatang rotan di restoran D'archery Garden, Batu 1 Jalan Kuhara Tawau pada jam 1 pagi 6 April lula kerana mengesyaki isterinya berlaku curang.
Sehubungan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh kerana mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa yang kini masih dirawat di Hospital Tawau serta mengalami trauma.
Sementara itu, Awang Kerisnada dalam penghujahan penghakiman berkata hukuman dikenakan mengambil kira tahap keseriusan kecederaan yang dialami mangsa.
"Tidak kira sama ada betul atau tidak mangsa curang, itu tidak sepatutnya dijadikan alasan tertuduh memukul mangsa dengan begitu teruk.
"Tertuduh boleh sahaja membuat laporan polis atau merujuk ke Mahkamah Syariah atau mendapatkan khidmat kaunseling kerana perbuatan terhadap isteri itu tidak wajar dan mendera," katanya.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa membuat laporan polis pada 6 April, jam 10.42 malam selepas dirotan suaminya selain berasa terancam kerana sering dipukul tertuduh setiap kali berlaku pergaduhan.