Cederakan bapa tiri, lelaki 30 tahun mengaku tidak bersalah
Abd Hadi Che Awang
Februari 24, 2022 14:25 MYT
Februari 24, 2022 14:25 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berusia 30 tahun yang menyara hidup dengan melakukan kerja-kerja kampung
mengaku tidak bersalah atas tuduhan sengaja mencederakan bapa tirinya, 15 Februari lalu.
Tertuduh, Mohamad Farol Rafiq Md Rodzi membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim di Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Khamis.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas bapa tirinya yang berusia 71 tahun, di Jalan Masjid Kampung Ruat, Yan kira-kira jam 7 pagi, 15 Februari lalu.
Mohamad Farol didakwa melakukan kesalahan di bawah Sekyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan jika sabit kesalahah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tempoh setahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hamizah Mat Shah manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farahdina Che Bakar.
Mahkamah kemudiannya, membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tertuduh yang juga pemegang kad pesakit mental diperintahkan untuk dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak bagi penilaian psikiatri.
Majistret juga turut menetapkan syarat tambahan dengan tidak membenarkan tertuduh mendekati mangsa selain perlu melaporkan diri di balai polis terdekat, sekali sebulan sehingga kes selesai.
15 Februari lalu, Astro AWANI melaporkan seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan polis selepas memukul bapa tirinya berusia 71 tahun yang enggan memberikannya wang untuk membeli bekalan dadah di Jalan Masjid Kampung Ruat, Yan.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata tertuduh dipercayai telah memukul mangsa beberapa kali termasuk menendang bahagian belakang ketika mangsa berada di luar rumah.
Menurut beliau, mangsa kemudiannya telah mendapatkan rawatan di Hospital Yan dan disahkan mengalami bengkak di bahagian telinga kiri akibat ditumbuk oleh suspek.
Hasil siasatan lanjut yang dijalankan pihaknya juga mendapati suspek merupakan seorang pesakit mental serta memiliki kad orang kurang upaya (OKU) dan ia disahkan oleh ibunya.