Cederakan anggota bomba, penganggur direman empat hari
Astro Awani
Jun 20, 2021 17:11 MYT
Jun 20, 2021 17:11 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang penganggur lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian mendatangkan kecederaan kepada seorang pegawai bomba yang sedang bertugas memadam kebakaran di Kampung Belipat, Lawas pada Sabtu.
Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Polis Daerah Lawas DSP Roslan Leman berkata permohonan reman suspek berusia 30 tahun itu diluluskan selama empat hari bermula hari ini.
"Walaupun mangsa, pegawai bomba berusia 41 tahun telah menarik laporan polis terhadap suspek tengah malam tadi, tetapi siasatan tetap diteruskan sehingga mendapat arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya dan Seksyen 186 kanun yang sama kerana menggalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya," katanya.
Menerusi kejadian pada petang Sabtu, suspek dilaporkan gagal mengawal perasaan sehingga menyerang seorang anggota bomba yang sedang bertugas membantu memadam kebakaran.
Untuk itu, dua laporan polis telah dibuat masing-masing oleh anggota bomba berkenaan dan pihak JBPM.
Bagaimanapun, laporan dibuat pegawai bomba tersebut ditarik semula jam 12.45 tengah malam tadi manakala laporan oleh JBPM masih diteruskan atas tujuan merekod dan rujukan di masa akan datang.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khairudin Drahman menafikan pihaknya lewat ke lokasi kebakaran sebuah rumah di Kampung Belipat, Lawas, pada Sabtu.
Khiruddin ketika dihubungi Astro AWANI turut menolak dakwaan perkara berkenaan jadi punca ketegangan antara pihaknya dan seorang lelaki sehingga mengakibatkan salah seorang anggotanya cedera.
‘’Setiap panggilan yang diterima, kita akan pastikan bahawa respond time kita mematuhi SOP yang ada. Contohnya keluarkan jentera seminit selepas menerima panggilan dan menuju ke lokasi. Semua perkara ini perlu diambil kira.
‘’Dan bila kejadian ini berlaku, apabila komuniti tidak boleh mengawal emosi, inilah yang terjadi. Tetapi alhamdulillah, kedua pihak telah berhasil mencari jalan penyelesaian terbaik dan mereka telah berbincang dan permohonan maaf diterima oleh pegawai yang terlibat,’’ katanya.
Dalam insiden tersebut, sebuah rumah setingkat yang disewa empat sekeluarga musnah bersama dua kenderaan jenis SUV dan pacuan empat roda milik penyewa terbabit.
#rumah terbakar Lawas
#kes kebakaran di Lawas
#kes kebakaran di Sarawak
#Roslan Leman
#Khiruddin Drahman
#JBPM Sarawak