Cederakan anak saudara, tertuduh kes bunuh ibu, bapa dipenjara sembilan tahun

Shuhada Abdul Kadir
September 12, 2024 16:30 MYT
Tertuduh, Azman Mohamed Nor,48, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus satu pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin. - Bernama
MUAR: Seorang lelaki yang didakwa membunuh ibu bapa dan anak saudaranya sebelum membakar kediaman mereka di Kampung Paya Redan, Pagoh awal bulan lalu dihukum penjara sembilan tahun dan denda RM5,000 di Mahkamah Sesyen Muat atas pertuduhan mencederakan seorang lagi anak saudaranya.
Tertuduh, Azman Mohamed Nor,48, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus satu pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan tertuduh didapati menyebabkan cedera parah ke atas anak saudaranya berusia 14 tahun dengan menggunakan sebatang kayu yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata.
Kesalahan itu dilakukan antara pukul 1 pagi sehingga 3 pagi di rumah alamat No.33, Jalan Sekolah Kampung Paya Redan, dalam daerah Muar pada 9 Ogos 2024.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dah hendaklah dikenakan denda atau sebat.
Mengikut fakta kes, mangsa dan adik perempuannya berusia 11 tahun yang maut dalam kejadian itu telah ke belakang rumah untuk mencari tertuduh selepas kediaman mereka dilihat terbakar.
Tertuduh yang sedang memegang sebatang kayu tiba-tiba memukul kedua-dua mereka, namun mangsa sempat menepis menggunakan tangan kanan dan melarikan diri ke belakang rumah jirannya dan menyorok di belakang timbunan pasir.
Mangsa kemudian mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan tangan kanannya.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Arif Marzuki memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira mangsa merupakan anak saudaranya selain kecederaan yang dialami adalah serius.
Selain itu katanya, perbuatan tertuduh juga mendapat perhatian umum dan hukuman setimpal juga perlu diberikan sebagai pengajaran kepada masyarakat.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman rendah memandangkan dia telah insaf dan menyesali perbuatannya.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara sembilan tahun daripada tarikh jatuh hukum dan denda sebanyak RM5,000 atau penjara lima bulan jika gagal bayar.
Terdahulu, Azman pada 20 Ogos lalu telah didakwa di Mahkamah Majistret Muar atas pertuduhan membunuh Ara Ab. Hamit, 76; Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82 dan Noradriana Nor Hasyim, 11, yang juga merupakan ibu dan bapanya serta anak saudaranya di lokasi, masa dan tarikh sama.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati atau penjara bagi suatu tempoh yang tidak kurang 30 tahun dan lebih 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 sebatan.
#kes bunuh dan bakar #bakar rumah #pukul anak saudara #hukuman penjara
;