Cedera diserang beruk ketika pulang mengaji
Astro Awani
Jun 4, 2015 00:28 MYT
Jun 4, 2015 00:28 MYT
Dua kanak-kanak cedera diserang seekor beruk ketika pulang mengaji Al-Quran di Kampung Hutan Bentut, Mergong, Alor Setar, hari ini.
Kejadian itu mengakibatkan, Mohamad Redwan Saibon, 13 tahun, cedera di bahagian siku dan tapak tangan, manakala adiknya, Siti Nor Bahiyah, 8 tahun, cedera di lutut akibat terjatuh ketika menyelamatkan diri.
Menurut Redwan, mereka diserang ketika dia dan adiknya pulang dari kelas di Kampung Batin.
Ketika tiba di kawasan semak, secara tiba-tiba seekor beruk yang masih mempunyai tali di leher menerkam mangsa dan adiknya bertalu-talu.
Akibat panik, adiknya sempat melarikan diri dan terjatuh hingga cedera di lutut, manakala Redwan tidak sempat melarikan diri dan bergelut hingga jatuh.
"Awal itu saya menghantar hantar adik pergi kelas mengaji. Kemudian bila sampai di kelas mengaji, Tok Guru (cikgu) tiada jadi kami pun pulang. Sampai setengah jalan, beruk itu datang dan terkam.
"Saya jatuh dan menjerit minta orang datang. Lepas itu rasa rasa macam tidak ingat sangat apa yang sudah berlaku, saya lawan dengan beruk itu dan lari," tambah Redwan.