Cecair kimia tumpah: JAS Perak hantar sampel air ke Jabatan Kimia

Bernama
September 27, 2019 18:32 MYT
Sampel air berkenaan yang diambil pagi tadi dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis dan keputusannya akan diketahui dalam masa terdekat. - Gambar fail
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak hari ini mengambil sampel air dalam parit di Kampung Parit Mentara 3, Bagan Serai susulan tumpahan cecair kimia jenis 'acetone' Rabu lalu.
Pengarahnya, Norazizi Adinan berkata sampel air berkenaan yang diambil pagi tadi dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis dan keputusannya akan diketahui dalam masa terdekat.
"Setakat ini, pintu air masuk dan keluar sepanjang 300 meter di dalam parit yang dipercayai tercemar telah ditutup sejak hari kejadian. Syarikat lori tangki yang terbabit akan melantik kontraktor berlesen dengan JAS untuk melakukan kerja pengepaman keluar air.
"Air yang tercemar akan dilupuskan di premis yang dilesenkan oleh pihak JAS. Kerja-kerja pengepaman dan pelupusan akan dipantau dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Ketika ditanya sekiranya penduduk selamat untuk pulang ke kediaman masing-masing, Norazizi berkata perkara itu akan dimaklumkan sendiri oleh pihak berkuasa berkaitan.
"Setakat ini, pihak kami lebih fokus untuk menyelesaikan kerja-kerja pengepaman oleh kontraktor dan urusan pulang ke kediaman adalah di bawah arahan pihak berkuasa," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak, Mohamad Yunus Abu berkata berdasarkan penilaian, 'Acetone' yang tumpah tidak menyebabkan pencemaran yang serius.
Sebaliknya, beliau berkata ia lebih kepada bahan mudah terbakar dan pihaknya telah mengambil langkah wajar untuk mengurangkan risiko sambaran api termasuk melarutkan bahan itu dengan air.
"Seperti yang telah sedia maklum, ujian pengesanan menggunakan tiga jenis alat pengesan iaitu kertas litmus, 'GFG 450' dan Gasmed tidak mengesan kehadiran bahan berbahaya di udara di kampung itu," katanya.
Pada Rabu, lori tangki dengan muatan Aceton yang dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Pulau Pinang itu terbabas sebelum terbalik ke dalam parit di kampung berkenaan kira-kira pukul 5 pagi.
Acetone merupakan cecair kimia tanpa warna, mudah meruap, mudah bakar dan sering digunakan sebagai pelarut, antaranya untuk cat serta pewarna kuku. -- BERNAMA
BACA: Tumpahan bahan kimia treler terbabas, empat keluarga terpaksa tumpang rumah jiran
BACA: Treler bahan kimia terbalik berjaya dinaikkan
#acetone #Bagan Serai #bahan kimia #Jabatan Alam Sekitar #kampung parit mentara 3 #pencemaran #Perak #treler terbalik
;