Cecah usia 129 tahun, mengapa Memorial Pelanggaran Gajah kian daif, dipandang sepi?
Aida Aziz
September 22, 2023 08:00 MYT
September 22, 2023 08:00 MYT
TELUK INTAN: Jika tiada memorial yang diwujudkan di Sungai Kerawai di sini, pasti ramai generasi baharu tidak tahu peristiwa seekor gajah jantan menyerang sebuah kereta api wap yang membawa tiga gerabak penumpang pada 17 September 1894.
Malangnya, memasuki usia 129 tahun, Memorial Pelanggaran Gajah yang terletak dekat Taman Melor di sini sudah usang dan dinaiki semak samun sehingga tenggelam dari pandangan umum.
Difahamkan kali terakhir ia dibersihkan kira-kira lima tahun lalu, itu pun hasil inisiatif yang digerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi gotong-royong.
Namun kini ia kembali dipandang sepi, tanpa pemantauan pihak berkaitan atau mungkin terbantut akibat kekangan dana dan peruntukan.
Sewajarnya lokasi bersejarah sebegitu diberi penjagaan yang sebaiknya, apatah lagi ia mampu menarik ramai pengunjung untuk mengetahui kisah yang ada di sebalik memorial tersebut.
Isu berhubung keadaan terkini memorial itu sudah beberapa kali diuar-uarkan di media sosial, malah ada beberapa NGO yang dahulunya giat menghidupkan semula kawasan itu meluahkan rasa kecewa kerana ia tidak dipulihara oleh pihak yang lebih kanan.
Astro AWANI mendapatkan pandangan daripada salah seorang wakil NGO yang mengikuti rapat berhubung isu tersebut.
Naib Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHGSoc), Nor Hisham Zulkiflee berkata, usaha mengangkat semula nilai sejarah di landasan kereta api lama itu diterajui oleh beberapa pihak.
"Usaha itu digerakkan pada tahun 2018 oleh Iskandar Zulqarnain dari Persatuan Pencinta Sejarah Masyarakat Perak, dari situ mereka bergotong-royong dan membaik pulih papan tanda memorial itu. Ia turut mendapat kerjasama komuniti setempat dan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).
"Ketika itu kawasan itu berjaya dicantikkan ditambah dengan dana yang diperoleh bagi kerja-kerja tersebut. Namun setelah itu ia tergendala susulan COVID-19, kemudian pihak yang menerajui usaha ini berpindah ke luar Perak, bermula dari saat itu ia mula terbiar sampai sekarang.
"Jika tiada usaha yang digerakkan oleh NGO itu dan pihak berkenaan, rasanya tidak ramai yang tahu tentang lokasi bersejarah itu, tetapi agak sedih sebab ia kembali dibiar sepi dan daif sedangkan itu lokasi bersejarah bukan saja di Perak tetapi Malaysia," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Nor Hisham menambah, sebelum ini tiada laluan atau akses yang sesuai untuk pengunjung datang ke lokasi terbabit, namun dengan usaha yang digerakkan pihak terbabit ia telah menarik minat orang ramai untuk bergambar di situ.
"Kawasan itu juga merupakan sebahagian legasi landasan kereta api Tapah Road ke Teluk Intan yang wujud dahulu, ia dihentikan sekitar tahun 1990-an.
"Kalau tidak dibersihkan memang susah pelawat hendak cari lokasi atau papan tanda memorial itu sebab sudah ditutup dengan lalang dan semak, agak berbahaya juga jika tiada penjagaan.
"Kalau hendak letak tanggungjawab itu pada NGO untuk bersihkan tidak patut sebab kekangan peruntukan, masa dan sebagainya.
"Rasanya pihak Tourism Perak dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ada turun ke situ untuk sama-sama promosikan, tetapi sayangnya ia tidak berterusan, PBT juga patut mainkan peranan untuk pastikan ia terjaga," katanya lagi.
Sedikit latar belakang berhubung memorial itu, pada 17 September 1894, sebuah kereta api wap yang membawa tiga gerabak penumpang serta tauke lombong yang baru pulang meninjau beberapa lokasi perlombongan di negeri ini diserang oleh seekor gajah jantan.
Susulan kemalangan itu menyebabkan lokomotif serta gerabak kereta api tergelincir dan laluan di antara Tapah Road dan Teluk Anson (kini Teluk Intan) terpaksa ditutup sementara untuk kerja baik pulih.
Tiada penumpang yang cedera dalam insiden tersebut dan mereka terpaksa berjalan kaki ke Stesen Keretapi Teluk Anson, kurang tiga batu dari tempat kejadian.
Akibat rempuhan tersebut, gajah itu mati di tempat kejadian, menurut I.H.N. Evans, tengkorak gajah tersebut merupakan yang terberat direkodkan dalam sejarah di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu.
Bagi memperingati peristiwa tersebut, sebuah papan tanda didirikan di tempat bangkai gajah tersebut ditanam.
Tengkorak dan dua gading gajah tersebut kini disimpan dan dipamerkan di Muzium Perak, Taiping manakala tulang paha dengan panjang hampir semeter pula dipamerkan di ruang legar mini muzium Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Johor Bahru.