CEC DAP: Zairil tawar diri sekali lagi

Astro Awani
Ogos 17, 2013 17:23 MYT
-Filepic
Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari menyambut baik keputusan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP untuk mengadakan pemilihan semula CEC.
Serentak dengan itu juga beliau menawarkan diri untuk bertanding.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menawarkan diri saya sekali lagi sebagai calon CEC. Biar bagaimana pun pilihan para perwakilan, saya tetap akan menerima dan akur dengan keputusannya.
“Harapan saya cumalah satu, iaitu agar para perwakilan akan memilih calon-calon yang terbaik berdasarkan kebolehan, keupayaan dan rekod prestasi mereka. Sesiapa pun yang berjaya, biar prinsip ini dikekalkan,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar.
Pada mesyaurat tergempar yang diadakan pada 14 Ogos, DAP memutuskan untuk mengadakan pemilihan semula CEC.
“CEC telah bersetuju untuk mengadakan pemilihan semula demi mengelak kemungkinan pembatalan pendaftaran parti, dan bukan sebagai pengakuan seperti yang didakwa beberapa pihak,” tambah Zairil.
Bulan lepas, ROS memutuskan DAP harus mengadakan pemilihan semula CECnya selepas badan itu tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh parti berhubung dakwaan penyelewengan pengundian dan manipulasi undi membabitkan 547 perwakilan pada pemilihan yang diadakan 15 Dis lepas.
#DAP #Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) #Zairil Khir Johari
;