CEC DAP diisytihar sah oleh ROS

Haider Yutim
September 23, 2014 12:57 MYT
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut menggugurkan saman DAP terhadap ROS tanpa arahan kos. - Gambar Fail
Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP telah diiktiraf sebagai sah oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), menurut kenyataan di laman Facebook parti itu hari ini.
Menurut laman itu lagi yang memetik laporan Rocketkini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut menggugurkan saman DAP terhadap ROS tanpa arahan kos.
Ia setelah DAP menarik balik samannya bagi mendapatkan semakan kehakiman terhadap arahan ROS terbabit.
Mahkamah turut membenarkan jawatankuasa pusat parti itu meneruskan tugas-tugas serta peranannya.
Permasalahan DAP dengan ROS bermula selepas ahli CEC DAP yang dilantik dalam pemilihan pada 15 Disember 2012, tidak diiktiraf ROS.
DAP akhirnya bersetuju untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) bagi mengelak pendaftaran parti terbatal.
Bagaimanapun, ROS memaklumkan pendaftaran DAP tidak terbatal, dan ROS hanya tidak mengiktiraf pemegang jawatan CEC.
Berikutan itu, DAP telah mengadakan pemilihan semula CEC pada 29 September 2013 lalu.
#CEC #DAP #jawatankuasa #mahkamah #ros #saman
;