Cebisan kain dalam martabak: KKM keluar notis kompaun terhadap peniaga cuai
Bernama
Mac 27, 2024 17:15 MYT
Mac 27, 2024 17:15 MYT
PUTRAJAYA: Notis kompaun dikenakan terhadap peniaga martabak di bazar Ramadan kerana didapati cuai semasa pengendalian makanan menyebabkan kehadiran cebisan kain pengelap dalam makanan berkenaan.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan lanjut melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) turut mengenal pasti beberapa kesalahan dilakukan pemilik gerai termasuk tidak membuat pengasingan yang jelas untuk bahan mentah dan makanan telah dimasak, menggunakan kain pengelap tidak bersih dan tidak memakai pakaian pelindung diri dengan sempurna.
"Justeru, tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap gerai yang menjual makanan tersebut dengan mengeluarkan notis kompaun di bawah Peraturan 32(1)(b) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009," menurut kenyataan itu susulan aduan tular di media sosial mengenai pencemaran makanan di bazar Ramadan Desa Pandan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
KKM sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di semua gerai bazar Ramadan seluruh negara dan sehingga kini, sebanyak 10,570 premis telah diperiksa.
KKM turut mengingatkan peniaga premis makanan untuk meningkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan di premis masing-masing bagi mengelakkan sebarang pencemaran silang dan kehadiran bendasing dalam makanan yang dijual.
"Cuaca panas ketika ini juga boleh menyebabkan pembiakan bakteria lebih pantas dan menyebabkan makanan cepat basi dari kebiasaan.
"Orang ramai dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan ini dalam memilih apa sahaja juadah berbuka, sebelum membeli 'Perhati dan Pilih' serta amalkan Lihat Hidu Rasa kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan," menurut kenyataan itu.
Menurut KKM, peniaga makanan yang didapati tidak mematuhi kehendak di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
KKM sentiasa peka dan prihatian terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna dan menegaskan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan sepanjang Ramadan adalah terkawal.
Sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, boleh dihubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my serta facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
-- BERNAMA