CBRM bantu usahawan PKS terjejas COVID-19 kembangkan perniagaan

Adie Sufian Zulkefli
Jun 7, 2020 03:27 MYT
Salah seorang kakitangan di kedai Mohd Fadzil yang mengusahakan perniagaan jus jambu dan sos kicap di Alor Setar. Foto Astro AWANI
"Terima kasih banyak kepada kerajaan Malaysia yang membantu kami peniaga kecil."
Demikian ucapan ringkas Mohd Fadzil Harun, 39 tahun, susulan pengumuman mengenai geran dan pinjaman berjumlah RM700 juta kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan di peringkat pertengahan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan RM700 juta dalam Perutusan Khas Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada Jumaat, bagi membantu syarikat tersebut mendigitalkan operasi dan saluran perdagangan mereka.
Mohd Fadzil, yang mengusahakan perniagaan jus jambu dan sos kicap di sini berkata, geran itu membolehkan lebih banyak syarikat PKS melanggan atau menggunakan perkhidmatan berkaitan digitalisasi perniagaan.
Dia yang telah berkecimpung dalam perniagaan ini sejak tiga tahun lalu melihat inisiatif ini sebagai mendorong perusahaan mikro dan PKS sepertinya supaya beralih kepada khidmat digital atau dalam talian.
Katanya, peruntukan ini akan digunakan untuk mengembangkan lagi perniagaannya dan membantu dalam penjualan produknya.
"Ia memudahkan. Kami langsung tak pergi ke pejabat. Disebabkan COVID-19, kita hanya isi (borang permohonan) online dan tunggu mesej mengatakan ia lulus.
"Kemudian, kami akan pergi tanda tangan kontrak di pejabat. Jadi, tersangatlah mudahnya untuk peniaga kecil macam kami," katanya.
Mohd Fadzil berkata, dia sebelum ini telah menerima pinjaman menerusi program Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan membeli sebuah peti sejuk beku.
Mohd Fadzil antara 25,140 pemohon Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) di bawah TEKUN Nasional sejak ia mula dilancarkan 8 April lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 19,806 permohonan sudah diluluskan membabitkan nilai peruntukan RM153.77 juta.
CBRM diwujudkan untuk membantu usahawan mikro yang terjejas perniagaan akibat COVID-19 dan sejumlah RM200 juta sudah diperuntukkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat Prihatin.
#COVID-9 #dalam talian #digital #Geran #mikro #pakej rangsangan ekonomi #pelan jana semula ekonomi #pelan pemulihan ekonomi #PENJANA #perniagaan #pertengahan #peruntukan #pinjaman #PKP #PKPB #PKS #PRIHATIN #TEKUN Nasional #usahawan