CBP, PR1MA jalin kerjasama bantu pemilikan kediaman menerusi CBP MyPR1MA

Astro Awani
Januari 29, 2023 13:19 MYT
Sesi Penukaran Dokumen Persetujuan Kerjasama Strategik Skim Rumah CBP MyPR1MA disaksikan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, di Ipoh, Perak.
KUALA LUMPUR : Co-opbank Pertama (CBP) menjalin kerjasama bersama PR1MA menerusi Skim CBP MyPR1MA bagi membantu golongan pertengahan memiliki kediaman impian mereka di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, menerusi skim itu, ia membolehkan pembeli rumah PR1MA mendapatkan pembiayaan sehingga 110 peratus termasuk pembiayaan perumahan, kos guaman dan takaful daripada CBP di seluruh negara.
“Selain itu, menerusi skim ini juga, pembeli rumah PR1MA juga tidak perlu membayar wang pendahuluan. Ianya selari dengan hasrat kerajaan untuk membantu rakyat di negara ini memiliki kediaman sendiri. Menerusi Skim CBP MyPR1MA ini, para pembeli rumah PR1MA boleh mendapatkan pembiayaan sehingga 110 peratus iaitu termasuk pembiayaan perumahan serta perlindungan takaful dan takaful kebakaran," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ujarnya, kadar keuntungan yang ditawarkan juga adalah sangat kompetitif sama seperti institusi kewangan lain di pasaran.
"CBP turut menawarkan pelbagai pembiayaan perumahan termasuklah Pembiayaan Al-Amali (rumah dan lot kedai), Pembiayaan Ar-Rahah (pembiayaan tanah) dan juga CBP Rumah Pertamaku," tambahnya.
Untuk rekod, prestasi perniagaan pada tahun 2022 berada pada tahap sangat baik dengan kedudukan aset CBP kini melebihi RM7 billion yang merupakan tertinggi dalam sejarah penubuhannya.
CBP juga sedang membuka langganan syer anggota bagi tambahan syer serta anggota baharu di seluruh cawangan CBP.
Orang ramai yang ingin mendapatkan pembiayaan perumahan dan produk serta perkhidmatan perbankan lain, boleh layari www.cbp.com.my atau kunjungi 29 cawangan CBP di seluruh negara.
#PR1MA #CBP #Co-opbank Pertama #Khairil Anuar Mohammad Anuar
;