CBP lulus 47,413 permohonan moratorium PEMULIH

Astro Awani
Ogos 17, 2021 15:13 MYT
Kamari Zamari berkata, permohonan tidak diluluskan hanya membabitkan 240 pelanggan sahaja berikutan tidak menepati syarat ditetapkan CBP.
KUALA LUMPUR: Coop Bank Pertama (CBP) meluluskan lebih 47,000 permohonan moratorium Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sehingga pertengahan Julai lalu, dengan nilai keseluruhan melebihi RM3.2 bilion.
Pengerusi CBP, Kamari Zamari Juhari berkata, secara keseluruhannya, permohonan tersebut melibatkan pelanggan bagi Pembiayaan Persendirian-i, Perumahan-i dan Ar-Rahnu.
Menurut beliau, daripada jumlah itu hampir 99 peratus permohonan moratorium pelanggan CBP telah diluluskan.
Bagaimanapun, ujar beliau, bagi pelanggan koperasi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), permohonan akan dinilai berdasarkan pertimbangan institusi kewangan itu.
"Bermula April 2020, sebagai sebuah bank koperasi yang prihatin, CBP menawarkan empat fasa moratorium iaitu Fasa 1 berkuat kuasa April tahun lalu hingga Oktober 2020. Sebanyak 55,901 akaun menerima moratorium dengan baki pembiayaan sebanyak RM2.8 bilion.
"Bagi Fasa 2 bermula Oktober 2020 hingga Disember 2020 yang mensasarkan kumpulan B40 mencatatkan 26 akaun individu dan tiga akaun korporat diluluskan berjumlah RM45 juta.
"Sementara itu, bagi Fasa 3 ia bermula Januari 2021 sehingga Jun lalu, mensasarkan kumpulan B40 terjejas pendapatan berjumlah RM1.2 bilion membabitkan lebih 12,000 akaun bagi moratorium lanjutan tiga bulan dengan baki pembiayaan RM797.8 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA: CBP umum pembiayaan khusus untuk pegawai ATM
BACA: CBP mahu terus jadi institusi perbankan koperasi pilihan
Selain itu, Kamari Zamari berkata, lebih 5,500 akaun dengan baki pembiayaan RM399.2 juta dicatat untuk pengurangan bayaran 50 peratus selama enam bulan.
Tambahnya, lebih 47,000 akaun diberi moratorium selama enam bulan dengan baki pembiayaan melebihi RM3.2 bilion pada moratorium Fasa 4
"Tempoh moratorium ditawarkan CBP kepada pelanggan adalah selama enam bulan dan tidak diklasifikasikan sebagai penjadualan semula atau penstrukturan semula selain rekod pembiayaan kekal seperti sediakala.
"Pelanggan yang membayar melalui Biro Potongan ANGKASA (BPA) atau Potongan Gaji Majikan (PGM), pembayaran akan diaktifkan semula selepas tamat tempoh moratorium ini sementara pembayaran lain akan dihubungi CBP," katanya.
Kata Kamari Zamari lagi, permohonan tidak diluluskan hanya membabitkan 240 pelanggan sahaja berikutan tidak menepati syarat ditetapkan CBP.
"Syarat ditetapkan itu adalah permohonan pembiayaan diluluskan selepas 30 Jun 2021 dan mempunyai tunggakan melebihi tiga bulan.
"Menyedari ramai terkesan ketika pandemik ini, CBP menawarkan penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan berdasarkan kelayakan tertakluk kepada penilaian kredit ditetapkan bagi setiap permohonan.
"Sebanyak 297 akaun diluluskan di bawah program penstrukturan semula pembiayaan sejak pelaksanaan moratorium pada April 2020 dengan jumlah baki pembiayaan RM16.8 juta," jelasnya.
Ujarnya, walaupun menyedari implikasi kewangan yang bakal ditanggung, CBP menawarkan kemudahan moratorium sebagai inisiatif bantuan kepada pelanggan.
"Risiko ke atas bank akan berpunca daripada pembiayaan tersebut menjadi tertunggak jika peminjam gagal membayar apabila tempoh moratorium berakhir.
"Dalam hal ini, CBP sentiasa berhati-hati dalam pengurusan risiko dengan melakukan ‘stress test’ ke atas penyata imbangan kami bagi memahami risiko moratorium.
"Penting untuk peminjam berdisiplin membayar tunggakan terhutang kepada bank bagi memastikan rekod pembiayaan mereka adalah baik untuk memudahkan permohonan pembiayaan masa hadapan," kata Kamari Zamari lagi.
#bank #ekonomi #Moratorium #PKS #pandemik #CBP #PEMULIH
;