CBP agih wakalah zakat hampir RM370,000
Astro Awani
Oktober 27, 2022 20:38 MYT
Oktober 27, 2022 20:38 MYT
KUALA LUMPUR : Co-opbank Pertama (CBP) mengagihkan dana wakalah zakat berjumlah RM367,168 kepada 16 buah masjid dan 400 penerima individu di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, program agihan itu mensasarkan golongan anak yatim dan ibu tunggal dalam kalangan fakir dan miskin, selain institusi masjid dan pelajar IPT bawah kategori asnaf fisabilillah.
"Agihan wakalah zakat ini dilakukan di beberapa negeri iaitu di Perlis, Kedah, Selangor, Kelantan dan Melaka. Selain itu, turut diagihkan adalah di Johor, Kuala Lumpur, Terengganu, Negeri Sembilan, Pahang, Sarawak dan Pulau Pinang.
"Agihan zakat ini merupakan salah satu program di mana agihan zakat ini disampaikan sendiri oleh anggota Lembaga CBP menerusi majlis serahan zakat yang diadakan di masjid-masjid terpilih di seluruh negara.
"Program agihan yang dijalankan membuktikan kesungguhan CBP dalam memartabatkan masjid sebagai pusat dakwah dan kemasyarakatan, selain menzahirkan keprihatinan CBP terhadap golongan ibu tunggal, anak yatim serta pelajar IPT," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu kata Khairil Anuar, program berkenaan merupakan tanggungjawab CBP untuk membantu golongan yang memerlukan.
"Bantuan ini secara tidak langsung dapat meringankan beban mereka dengan bantuan zakat yang diberikan.
"Tambahan, program ini juga merupakan langkah untuk CBP merapatkan lagi hubungan dengan masyarakat yang telah banyak membantu dan menyokong kita selama ini," jelasnya.
Selain daripada agihan wakalah zakat, ujarnya, CBP terus komited membantu masyarakat menerusi pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Kami turut mensasarkan agihan ini dapat ditingkatkan lagi di tahun-tahun mendatang dan dapat membantu lebih ramai golongan sasar di negeri-negeri lain," katanya.