CB204: 'Kami berjaga sepanjang malam, tunggu komunikasi kapal lain' - Azri

Wan Syamsul Amly
Oktober 8, 2014 17:52 MYT
AZRI: Kami berjaga sepanjang malam, tunggu komunikasi kapal lain - Gambar fail
"Kami cuba buat perhubungan kepada kapal-kapal. Tidak ada satu pun kapal sepanjang malam itu yang menyahut 'panggilan' kami...sepanjang malam itu juga hujan turun dengan lebat."
Itu kata anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Leftenan Azri Bakar yang hilang di dalam bot tempur CB204 bersama enam lagi anak kapal pada Ahad lepas.
Jelasnya, cuma ada dua kapal yang menggunakan siaran komunikasi sama namun tidak menyahut 'panggilan' mereka.
"Kami harap mungkin ada kapal cari kami...kami buat perhubungan dan berharap ada jawapan untuk kami beri kedudukan," ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.
Wajah ceria anak kapal bot tempur CB204 ketika selamat tiba di Pangkalan TLDM, Kota Kinabalu - Gambar Astro AWANI
Tambah Azri, mereka menghadapi masalah pam sehingga terpaksa mengeluarkan air secara manual selain kerosakan enjin serta gear stering yang menambah kesulitan mereka sepanjang malam tersebut.
Selain Azri, enam lagi anak kapal bot itu ialah BK PAP Charles Cristopher Muni, BM TMK Ince anak Ewin, BM TMK Steven Hudson anak Miso, BM JTP Nor Azuan Ariffin, LK KOM Sulhajji Daah dan LK I PAP Azhry Maani.
Bot tempur yang dinaiki tujuh kru belayar dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 5 pagi Ahad untuk melaksanakan penggiliran tugas dengan bot yang beroperasi di Gugusan Semarang Peninjau, Pulau Layang-layang, sebelum terputus hubungan komunikasi radio dengan kapal pengiring KD Paus pada 11.15 pagi hari yang sama.
Bot tempur itu dikesan kira-kira 30 batu nautika ke timur Pulau Layang-layang selepas komunikasi sehala antara pasukan mencari dengan anak kapal bot berkenaan pada 4.15 petang Isnin.
Kata Azri, bekalan makanan yang dibawa juga hanya untuk perjalanan 10 jam sahaja menjadi punca mereka sedikit lapar pada malam itu.
"Bot itu untuk penugasan satu hari sahaja saya dan saya sediakan makanan untuk perjalanan 10 sehingga 12 jam iaitu bermula pukul 5 pagi sehingga dijangka sampai pasa pukul 6.20 petang," katanya.
Wajah ceria Azri dan isterinya, Fazilah Makun ketika selamat tiba di Pangkalan TLDM, Kota Kinabalu - Gambar Astro AWANI
Azri turut melahirkan rasa syukur kerana kejadian itu berakhir dengan selamat dan berterima kasih kepada seluruh rakyat negara ini yang mendoakan keselamatan mereka.
Selepas lebih 72 jam berdepan ombak kuat dan cuaca buruk di tengah lautan termasuk hilang hampir 28 jam, bot tempur CB204 selamat tiba di Pangkalan TLDM tepat jam 12.50 tengah hari Rabu.
Semua anggota tiba bersama bot tempur yang ditunda oleh Kapal Diraja (KD) Ganas sejak jam 4 pagi Selasa selepas ditemui keletihan berhampiran Terumbu Layang-Layang di perairan pantai barat Sabah pada jam 6.49 petang Isnin, kira-kira 90 batu nautika dari Kota Kinabalu.
#Azri #CB204 #KD Lekiu #Kota Kinabalu #Sepanggar #TLDM
;