Cawangan Latihan Para 69 Komando akan dinaik taraf
Bernama
Ogos 22, 2023 21:00 MYT
Ogos 22, 2023 21:00 MYT
TAIPING: Cawangan Latihan Payung Terjun (PARA) 69 Komando akan dinaik taraf sebagai Pusat Latihan Payung Terjun dan Pusat Latihan Selam mulai tahun depan.
Komander 69 Komando SAC Hamzah Hashim berkata pusat latihan berkenaan akan dibina di sekitar kawasan Ibu Pejabat 69 Komando di Ulu Kinta.
Beliau berkata penaiktarafan itu akan dilakukan secara berperingkat, selaras dengan tugas serta tanggungjawab 69 Komando yang dilihat semakin mencabar dengan peredaran zaman.
"Kami berhasrat supaya kemahiran payung terjun dan selam ini dapat diperluas kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengira daripada mana-mana jabatan," katanya kepada Bernama selepas membuat aksi terjunan payung terjun di Padang Tekah di sini hari ini.
Hamzah berkata pada masa ini, pihaknya turut menggunakan fasiliti Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Angkatan Tentera Malaysia di Kem Sungai Udang, Melaka bagi latihan payung terjun pegawai dan anggota 69 Komando.
Dalam pada itu, Hamzah berharap kerajaan dapat mempertimbangkan penambahan perjawatan dalam 69 Komando bagi memantapkan cawangan latihan payung terjun.
Terdahulu, Hamzah menyemat insignia Sayap Kehormat kepada Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) (Kepolisan Am) Bukit Aman SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid yang merupakan antara pegawai kanan polis terlibat melakukan Acara Terjunan Tandem pada ketinggian udara 10,000 meter.
Timbalan Pengarah JKDNKA (Pasukan Gerakan Khas) Bukit Aman SAC Anuar Rosdi pula memakaikan insignia Sayap kepada pegawai dan anggota 69 Komando yang tamat Kursus Asas Payung Terjun Para Bebas (Free Fall) Siri 1/2023 di Padang Tekah hari ini.
-- BERNAMA