Catuan air jika cuaca kering hingga bulan depan - KM Melaka
Bernama
April 13, 2016 23:19 MYT
April 13, 2016 23:19 MYT
Melaka akan mengadakan catuan air sekiranya cuaca panas dan kering tanpa hujan sekarang berterusan sehingga awal bulan hadapan.
Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata paras air di empangan Durian Tunggal di Alor Gajah kini di tahap amaran iaitu 50 peratus.
Manakala dua lagi berada di tahap baik - empangan Asahan, Jasin (88 peratus) dan empangan Jus, Jasin (75 peratus).
"Bagaimanapun dalam lima hari kebelakangan ini nampak positif apabila hujan turun, walaupun tak banyak...kita harap ia berterusan.
"Selain itu kita mahu rakyat Melaka mengambil tanggungjawab dalam usaha menjimatkan air, elakkan pembaziran dan gunakan air secara berhemah," katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka di sini hari ini.