Catuan air dihenti kalau hujan lebat

Bernama
April 16, 2014 13:34 MYT
Gambar Hiasan
Hujan yang mulai turun sejak kebelakangan ini membolehkan beberapa kawasan di Lembah Klang yang sebelum ini dikenakan catuan air mulai mendapat semula bekalan air tanpa gangguan.
Bagaimanapun, masih ada kawasan yang akan terus dikenakan catuan air sehingga penghujung bulan ini akibat musim kemarau, antara yang paling lama berlaku sejak tiga bulan lalu.
Menurut Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), catuan itu perlu dilakukan kerana hujan yang turun di beberapa bahagian Lembah Klang tidak mencukupi untuk meningkatkan air di empangan seperti Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Langat.
Keadaan itu memerlukan fasa keempat catuan air, melibatkan sejumlah 1,340,231 isi rumah atau 6.7 juta orang di Lembah Klang dilaksanakan sejak 4 April.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Alui Bahari dipetik sebagai berkata lazimnya hujan lebat turun pada bulan April dan Oktober dengan purata hujan bulanan antara 200 dan 350mm.
Mengapa catuan air dilakukan pada ketika hujan turun dengan lebat pada bulan April? Sampai bila kita perlu menghadapi catuan air dan apakah penyelesaiannya?
HUJAN SEDERHANA TIDAK MENCUKUPI
Menjelaskan keadaan berkenaan, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran berkata selagi tidak ada hujan lebat, seperti yang boleh menyebabkan banjir kilat, catuan air perlu diteruskan.
Katanya berdasarkan corak hujan yang turun, banyak kawasan di Lembah Klang masih mengalami hujan sederhana yang tidak cukup untuk memenuhi kawasan tadahan air.
"Sebagai contoh, sekiranya hujan hanya turun di 20 peratus kawasan tadahan hujan yang luas, ini memerlukan masa yang lama untuk memenuhi empangan," beliau memberitahu Bernama baru-baru ini.
Menurut beliau, semuanya bergantung kepada corak hujan yang turun dalam beberapa minggu akan datang dan fokus ialah Empangan Sungai Selangor, yang mengawal 60 peratus keperluan air mentah di Lembah Klang.
Berdasarkan kriteria kerajaan negeri Selangor, sekiranya sesebuah empangan mencapai 55 peratus kemampuannya, catuan di sesebuah kawasan boleh dihentikan.
Baru-baru ini, pengarah Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Md Khairi Selamat turut menyatakan, kira-kira 200mm hujan diperlukan untuk meningkatkan paras air di Empangan Sungai Selangor kepada 55 peratus daripada paras semasa 37.38 untuk menamatkan catuan air.
Sekiranya paras itu tidak dicapai menjelang 30 April, Md Khairi berkata catuan air akan diteruskan sehingga paras yang diperlukan diperoleh.
PEMBENIHAN AIR
Sekiranya inilah keadaannya, mengapa operasi pembenihan awan tidak dibuat pada awal tahun untuk mengekalkan paras air di empangan di paras optimum.
Sejauh mana pula pembenihan awan membantu pada musim kemarau?
Sebagai jawapan kepada soalan ini, Piarapakaran berkata: "Sebaik sahaja pembenihan awam dibuat, hujan mesti turun di kawasan tadahan air untuk memenuhi empangan. Ini memerlukan perancangan rapi untuk prosedur peringkat kritikal.
"Sebagai contoh, sekiranya musim kemarau berlaku lebih panjang daripada biasa, paras kritikal sesebuah empangan itu boleh dinaikkan bagi memastikan prosedur kecemasan dilaksanakan sebelum krisis benar-benar berlaku," katanya.
Di samping itu, katanya iklim tempatan terjejas akibat penggondolan hutan.
"Contoh jelas boleh dilihat di Bukit Larut sekarang. Empangan Air Kuning yang terletak di bahagian paling banyak hujan turun di hutan hujan tropika Malaysia mengalami kemerosotan air.
"Ini membuatkan catuan air perlu dilaksanakan di Taiping, bandar yang dikatakan paling banyak menerima hujan lebat di negara ini," katanya.
Oleh yang demikian, Piarapakaran menegaskan bahawa sudah sampai masanya pengurusan sektor awam yang berkenaan untuk mengendalikan keadaan seumpama itu tanpa meletakkan kesalahan kepada iklim.
"Perlu bertindak sekarang. Isu air semasa memerlukan pengurusan krisis," katanya.
#air #catuan #SYABAS
;