Catuan air di Melaka jika paras air empangan tidak memuaskan - Idris Haron
Bernama
Oktober 22, 2016 17:10 MYT
Oktober 22, 2016 17:10 MYT
Melaka akan melaksanakan catuan air dalam tempoh dua minggu daripada sekarang sekiranya paras air di tiga empangan di negeri ini kekal pada paras tidak memuaskan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.
Beliau berkata walaupun pada masa ini Melaka menerima hujan namun ia tidak turun di kawasan empangan menyebabkan paras air di empangan Durian Tunggal, Jus dan Asahan berada pada paras membimbangkan.
"Walaupun pada ketika ini hujan dilihat turun di merata tempat namun ia tidak turun di kawasan empangan berkenaan. Oleh itu, kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia dengan sebarang kemungkinan untuk catuan dilakukan.
"Sehubungan itu, saya meminta semua pihak untuk mengawal dan mengawasi penggunaan air terawat ini selain mula mencari ruang untuk menyimpan air," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Negara peringkat negeri Melaka yang turut dihadiri Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Datuk Ismail Othman dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Shafe'ee Yasin.
Berdasarkan maklumat Badan Kawal Selia Air Melaka daripada laman Facebook rasmi badan itu semalam, empangan Durian Tunggal yang mempunyai kapasiti 12,070 juta liter berada pada tahap 39.1 peratus, Jus dengan kapasiti 19,675 juta liter pada 45.5 peratus dan Asahan kapasiti 147 juta liter pada tahap 61.3 peratus.
Idris berkata sekiranya pelaksanaan catuan air terpaksa dijalankan maka langkah catuan secara berkala akan dilakukan bagi memudahkan pengguna untuk mengurus dan mengawal bekalan simpanan air mereka.
"Kita tidak akan lakukan secara berterusan dan akan bagi tempoh catuan dilakukan supaya pengguna boleh bersedia di samping mereka boleh menggunakan kaedah penuaian air hujan selain bergantung kepada kecekapan mereka untuk menyimpan air.
"Kalau boleh kita berdoa supaya catuan tidak perlu dilakukan sekali gus tidak menjejaskan keselesaan pengguna terutamanya penduduk di negeri ini," katanya.
Beliau berharap agar hujan dan pembenihan awan yang akan dilakukan dalm tempoh terdekat ini akan berhasil seterusnya penduduk di Melaka mampu menarik nafas lega agar catuan tidak perlu dilaksanakan.
-- BERNAMA