Catu air jika kemarau berterusan di Kedah - Xavier
Abd Hadi Che Awang
Januari 19, 2020 20:00 MYT
Januari 19, 2020 20:00 MYT
Catuan air kepada pengguna di Kedah mungkin dilaksanakan dalam masa terdekat, kerana kemarau di negeri terbabit dijangkakan berlarutan sehingga Mac tahun ini.
Bagaimanapun, menurut Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar, pihaknya terlebih dahulu akan membuka kesemua telaga tiub yang ada di Kedah, sebelum melaksanakan catuan.
Jelasnya, ketika ini banyak telaga tiub yang digali di seluruh kedah sejak 2019, dan ia boleh digunakan sebagai platform bagi menyalurkan bekalan air kepada pengguna terjejas.
“Cuaca kering adalah sebahagian dari perubahan cuaca, ia datang lebih awal tahun ini, sepatutnya pada Februari tetapi ia datang pada awal Januari.
“Jadi kami sedang memperhalusi dan memantau perkembangan ini. Kita sudah ada banyak telaga tiub di Kedah, kita akan gali telaga baharu untuk pastikan bekalan air mencukupi. Jika keadaan kemarau bertambah buruk kita mungkin terpaksa melakukan catuan air di Kedah.
“Itu kita tak dapat mengelak, kita seharusnya menghormati dan sayangi alam sekitar. Semua pihak perlu mainkan peranan dalam memastikan perkara ini diselaikan terutama bagi tempoh jangka masa Panjang," katanya kepada pemberita, di sini.
Xavier berkata demikian selepas ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke loji rawatan kumbahan Pantai Tengah, Langkawi, pada Ahad.
Keadaan kemarau di Kedah yang berlaku sejak November tahun lalu menyebabkan paras air di tiga empangan utama negeri iaitu di Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning semakin menyusut.
#catuan air
#empangan
#Kedah
#kemarau
#Menteri Air Tanah dan Sumber Asli
#telaga tiub
#Xavier Jayakumar