Catamaran kali terakhir dilihat berhampiran Pulau Sapi - Tekong
Bernama
Januari 29, 2017 23:16 MYT
Januari 29, 2017 23:16 MYT
Seorang tekong bot pelancong mendakwa kali terakhir bot jenis Catamaran yang membawa 31 individu termasuk 28 pelancong warga China itu dilihat, berhampiran Pulau Sapi, dekat sini.
Tekong bot berkenaan yang tidak mahu namanya disiarkan berkata ketika itu dia menaiki bot berasingan dengan membawa 32 pelancong China ke Pulau Mengalum bergerak dari Jeti Tanjung Aru bersama bot Catamaran itu pada 9 pagi semalam.
Menurut tekong berkenaan, tidak berapa lama selepas dia memintas bot itu kerana bot itu bergerak agak lambat, dia tidak lagi melihatnya sehingga dia tiba di Pulau Mengalum.
Dia tidak mengetahui apa yang berlaku dengan bot berkenaan.
"Bot kami menuju ke Pulau Mengalum tetapi kami berada di hadapan mereka. Kami memang nampak bot itu tetapi ia bergerak perlahan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Tekong bot itu berkata, keadaan cuaca pada pagi semalam adalah baik.
Bot Catamaran itu karam ketika dalam perjalanan dari jeti Tanjung Aru di sini ke Pulau Mengalum kira-kira 56 km ke barat laut Kota Kinabalu pada kira-kira 9 pagi semalam.
-- BERNAMA