Cashless Society catat 20,035 transaksi tanpa tunai setakat Februari - Teo
Bernama
Mac 10, 2024 16:45 MYT
Mac 10, 2024 16:45 MYT
KULAI: Program Cashless Society anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya mencatatkan 20,035 transaksi tanpa tunai sejak program berkenaan mula dilaksanakan pada 2023 hingga Februari tahun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata 2,740 peniaga juga berjaya didaftarkan sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya program yang bermula di Melaka tahun lepas kini diperluaskan ke tiga negeri lagi iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Pahang.
"Untuk 2024, program Cashless Society ini akan dilaksanakan di 61 lokasi yang terpilih di tiga negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Pahang," katanya selepas merasmikan program berkenaan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NaDi) Felda Taib Andak di sini hari ini.
Beliau berkata program Cashless Society berkenaan akan dilakukan secara berfasa dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) serta rakan-rakan strategik yang lain melalui program Cashless@NaDi di Felda yang terpilih, projek rintis, bulan Cashless dan Cashless Carnival.
Teo berkata program tersebut bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran komuniti tempatan dan peniaga tentang manfaat penggunaan bayaran tanpa tunai dan penerimagunaan teknologi seperti e-dompet, DuitNow, quick response (QR) dan kad debit/kredit dan seterusnya menyokong usaha kerajaan mengukuhkan kedudukan ekonomi komuniti setempat.
"Di negeri Johor, saya dimaklumkan bahawa Program Cashless@NaDi ini akan dilaksanakan di 17 lokasi dalam penempatan Felda," katanya.
Beliau berkata tumpuan utama inisiatif adalah keperluan bagi peniaga di peringkat mikro dan kecil dapat menerima serta mengguna pakai bayaran tanpa tunai.
Beliau berkata 11 NaDi baharu akan diwujudkan di Johor yang melibatkan 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) dari sembilan kawasan Parlimen dan dijangka siap sebelum penghujung tahun ini.
"Kesemua premis NaDi baharu ini masih dalam proses pemerolehan tapak dan beberapa kajian tapak sedang dijalankan termasuk proses mendapatkan kebenaran dari pelbagai pihak yang terlibat.
"Saya berharap dengan kolaborasi strategik bersama antara kerajaan negeri, MCMC, Felda, para penyedia perkhidmatan kewangan dan bank dapat merealisasikan sasaran 10 ribu transaksi tanpa tunai yang direkodkan menjelang akhir 2024," katanya.
Program Cashless Society adalah satu inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan membina keyakinan mengenai penggunaan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan penduduk Malaysia dan meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa penggunaan pembayaran digital adalah mudah, selamat, dan pantas.
Pemacuan agenda Cashless Society adalah berteraskan aspek ketersediaan infrastruktur capaian Internet, polisi mesra industri dan rakyat serta masyarakat digital inklusif.
-- BERNAMA