Caruman KWSP pekerja asing dapat kurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja luar

Israr Khalid
Disember 21, 2024 13:41 MYT
Dari 2022 hingga 2023, hampir 700,000 pekerjaan dicipta, tetapi lebih separuh daripadanya diisi oleh tenaga kerja dari luar, sebahagian besarnya dalam industri pembinaan. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terhadap pekerja asing boleh menjadi mekanisme jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja dari luar.

Ringkasan AI
  • Caruman KWSP untuk pekerja asing bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja luar dan memperkasakan pekerja tempatan.
  • Dicadangkan untuk mula dilaksanakan pada tahun 2027 dengan kadar dua peratus untuk majikan dan pekerja, secara berperingkat.
  • Walaupun menambah kos kepada majikan, ia diharapkan dapat mendorong penggunaan automasi dan meningkatkan ekonomi tempatan.

Dengan mewujudkan kesaksamaan dalam penggajian dan perlindungan sosial, pasaran kerja akan lebih memihak kepada pekerja warga tempatan sekali gus memperkasakan mereka untuk memacu industri negara dengan lebih jitu.
Kata Ketua Penyelidik DM Analytics, Dr Zouhair Rosli, ia selaras dengan piawaian antarabangsa iaitu ketetapan Artikel 68, Konvensyen 102 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bermaksud hak sama rata perlindungan sosial kepada individu bukan warganegara, yang juga digariskan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.
Menurutnya, banyak negara sudah melaksanakan dasar ini, baik negara-negara membangun apatah lagi negara-negara maju.
India antaranya yang mengenakan caruman 11 peratus untuk majikan dan pekerja, Thailand pada kadar sekitar lima peratus, Australia pula pada 12 peratus, Jerman pada sembilan peratus, dan Perancis antara yang tertinggi pada 18 peratus.
“Namun kita juga jangan terlalu fokus kepada apa yang negara-negara lain buat, kita kena tengok dasar apa yang kita nak capai - nombor satunya adalah untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.”
Statistik menunjukkan bahawa peratusan tenaga buruh luar yang memenuhi pasaran kerja Malaysia adalah sekitar 13 peratus, dan kata Zouhair, kita harus memastikan bahawa ia tidak melebihi kadar 15 peratus.
Maklumnya, dari 2022 hingga 2023, hampir 700,000 pekerjaan dicipta tetapi lebih separuh daripadanya diisi oleh tenaga kerja dari luar - yang mana sebahagian besar pekerjaan tersebut adalah di dalam industri pembinaan.
Tenaga kerja tempatan terutamanya golongan muda tidak berminat untuk menceburkan diri dalam lapangan kerja tersebut, yang disifatkan sebagai kerja susah, kotor dan bahaya (3D - dirty, dangerous, difficult), menyebabkan majikan terpaksa mengharapkan tenaga kerja asing - yang boleh dibayar dengan lebih murah.
Maka untuk ‘memartabatkan’ pekerjaan ini, ketika peningkatan kos sara hidup tak dapat dikekang, kerajaan menaikkan paras gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 yang akan mula Februari 2025.
Namun, di pihak majikan, dengan kenaikan kos untuk membayar gaji pekerja nanti, ramai yang bertanggapan bahawa rancangan pelaksanaan caruman KWSP terhadap pekerja asing akan menambah beban mereka.
“Gaji mereka (pekerja asing) pun sudah dikira tinggi, ketika tempat tinggal dan kemudahan asas untuk mereka telah pun disediakan mengikut Akta 520 dan 446 di bawah Kementerian Sumber Manusia,” kata Setiausaha Agung Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Ahmed Zaharani Yusof Omar.
Begitu pun, beliau bersetuju dengan Zouhair bahawa pelaksanaan dasar ini perlu mengambil masa untuk dinilai secara menyeluruh dan terperinci, serta dilaksanakan secara berperingkat supaya majikan dapat membuat perancangan sebaiknya untuk menyantuni perubahan.
Atau mungkin, cadang Zaharani, caruman terhadap tenaga kerja asing boleh dikecualikan kepada majikan dan dibayar oleh pekerja sahaja.
“Kalau kita lihat sesuatu projek tidaklah sampai lima atau enam tahun, paling-paling tiga tahun atau 36 bulan tempoh untuk mereka (pekerja asing) mencarum.
“Ini juga boleh mengelakkan daripada ‘transfer pricing’ (harga pemindahan) di mana duit itu (yang dikumpul pekerja asing untuk dihantar ke kampung halaman) dihantar bulat-bulat ke luar negara.”
Menurut Kementerian Kewangan, ketika ini kerajaan sedang menjalankan kajian terperinci bagi mengkaji mekanisme pelaksanaan terbaik caruman KWSP terhadap pekerja asing dengan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh.
Dengan peningkatan kos untuk menggaji tenaga kerja manusia, ia diharap dapat mendorong majikan untuk beralih kepada mesin dan memanfaatkan automasi sekali gus dapat mengurangkan kos operasi, pada masa sama memperkasa keupayaan tenaga kerja warganegara.
Kata Zouhair, kerajaan tidak perlu terburu-buru untuk menjayakannya, sepertimana dikatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan hasrat ini dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober tempoh hari, bahawa ia akan dilaksana secara berfasa sehingga paras saksama dapat dicapai.
“Contohnya, mula laksana pada tahun 2027 pada kadar dua peratus untuk majikan dan pekerja, dijangka jumlahnya sekitar RM1.5 bilion.
“Pengeluaran untuk sektor pembuatan sahaja nilainya sekitar RM400 bilion, maksudnya kos itu (mencarum KWSP untuk pekerja asing) tidaklah akan membebankan, dengan syarat kena mula pelan-pelan.”
Mampu kurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja luar
#KWSP #PKBM #DM Analytics #pekerja asing #caruman wajib
;