Caruman KWSP pekerja asing akan ditetapkan dua peratus - PM
Hasimi Muhamad
Februari 3, 2025 15:20 MYT
Februari 3, 2025 15:20 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menetapkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus kepada pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini.
Ringkasan AI
- Kerajaan menetapkan kadar caruman KWSP untuk pekerja asing pada dua peratus, berbanding cadangan asal 12 peratus.
- Keputusan ini dibuat untuk tidak membebankan majikan dan akan dikekalkan sehingga situasi ekonomi lebih baik.
- Kerajaan bercadang untuk mewajibkan semua pekerja bukan warga negara mencarum KWSP secara berfasa, sesuai dengan piawaian antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kadar tersebut tidak akan membebankan majikan dan akan dikekalkan sehingga situasi lebih baik.
"Kami telah menetapkan kadar pada dua peratus, yang mana ia agak signifikan.
"Cadangan asal adalah 12 peratus, tetapi Kabinet telah mempertimbangkan cadangan daripada dewan perniagaan. Jadi, buat masa ini, kami akan kekalkan pada dua peratus.
"Seperti yang anda tahu, ini melibatkan ratusan juta atau bahkan berbilion keuntungan, dan selepas itu (kita akan pertimbangkan) meningkatkan kepada empat peratus. Tetapi buat masa ini, kita kekalkan pada dua peratus," kata Perdana Menteri ketika berucap sempena Rumah Terbuka Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), hari ini.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan komited untuk memberi layanan adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan sesuai dengan piawaian antarabangsa.
Beliau berkata, kerajaan bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warga negara untuk mencarum KWSP dan cadangan itu akan dilaksanakan secara berfasa.