Carian MH370 berakhir tanpa sebarang penemuan

Astro Awani
Januari 17, 2017 14:34 MYT
Pesawat Boeing 777 MH370 yang membawa 12 anak kapal serta 227 penumpang hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac, 2014.
Operasi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014, semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, digantung hari ini.
Ia ekoran misi pencarian yang diketuai Australia meliputi 120,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi tidak dapat mengesan pesawat berkenaan.
Menurut satu kenyataan Mesyuarat Tripartite MH370 hari ini, kapal pencarian terakhir telah meninggalkan lokasi pencarian pesawat.
"Biarpun pelbagai usaha dilakukan menggunakan teknologi paling canggih dan melibatkan kepakaran daripada semua bidang, pesawat berkenaan masih tidak dijumpai.
"Sehubungan itu, pencarian dasar laut MH370 terpaksa digantung," kata Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia Darren Chester dan Menteri Pengangkutan China Li Xiaopeng dalam kenyataan itu.
"Keputusan untuk menggantung pencarian dasar laut itu tidak dipandang ringan atau diambil tanpa rasa sedih.
"Ia adalah selaras dengan keputusan yang dibuat oleh ketiga-tiga negara dalam Mesyuarat Tripartite Menteri pada Julai 2016 di Putrajaya Malaysia," menurut kenyataan bersama itu.
Katanya, walaupun gabungan kajian saintifik telah digunakan untuk meneliti kawasan berkebarangkalian, namun sehingga kini tiada maklumat baru ditemui bagi menentukan lokasi khusus pesawat berkenaan.
Jawatankuasa berkenaan turut melahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada negara-negara yang telah menghulurkan bantuan dan kepakaran pada peringkat awal tragedi malang berkenaan.
"Pengumuman hari ini adalah penting untuk ketiga-tiga negara, tetapi lebih penting bagi keluarga dan rakan-rakan mereka yang menaiki pesawat itu."
"Kami sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk menghormati kenangan serta memori mereka yang telah kehilangan nyawa dan menyedari kerugian besar yang dirasai oleh orang yang tersayang."
"Kami masih berharap maklumat baru akan timbul dan pesawat itu akan ditemui pada masa hadapan," kata kenyataan itu lagi.
Pada 8 Mac 2014, penerbangan MH370 hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal.
#berakhir #carian #Kenyataan Bersama #MH370
;