Cari ketenangan sambut Ramadan di Mekah, jadi memori terindah

Faris Danial Razi
April 22, 2022 16:00 MYT
Solat berjemaah dengan kapasiti penuh kini dibenarkan di Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah.
KUALA LUMPUR: Mula merancang untuk mengerjakan ibadah umrah seminggu sebelum Ramadan, hari ini Nurhidayah Mohd Hanafi, 27 tahun merupakan salah seorang insan bertuah kerana dapat menyambut bulan yang penuh mulia kali ini di Tanah Suci Mekah.
Katanya, dia hanya mula merancang untuk menyambut Ramadan di Mekah tiga minggu sebelum dapat berangkat ke sana dan semuanya dipermudahkan meskipun terdapat beberapa kekangan dari segi mendapatkan kos pakej yang berpatutan untuk ke sana.
Namun, atas semua perancangan yang dipermudahkan Allah SWT, Hidayah yang ingin mencari ketenangan dan ingin merasakan nikmat puasa di sana sudah dapat merasakan pengalaman mengerjakan solat berjemaah lima waktu, solat Tarawih di Masjidil Haram dan berbuka puasa di depan Kaabah.
“Ini merupakan kali pertama saya mengerjakan ibadah umrah dan syukur sangat kerana dikurniakan rezeki untuk dijemput ke sini ketika bulan Ramadan.
“Alhamdulillah, walaupun jemaah umrah kali ini sangat ramai kerana ramai yang tidak mahu lepaskan peluang rebutkan pahala puasa di sini, banyak pengalaman manis yang saya sudah lalui.
“Saya dapat mengerjakan solat di dalam masjid, betul-betul di depan Kaabah, kerana memang ramai sangat orang di sini sampaikan ada yang solat di tepi jalan sahaja,” jelasnya.
Pengalaman sambut puasa di Mekah jadi kenangan terindah dalam hidup
Tambah Hidayah, ketika berbuka puasa juga menjadi antara momen yang mungkin sukar untuk dilupakan kerana kemeriahan sesama umat Islam dari setiap pelosok dunia itu benar-benar dirasai.
“Keadaan bila berbuka puasa di masjid pun, ada banyak makanan yang orang bagi untuk sesiapa yang berbuka dekat masjid.
“Sangat seronok pada ketika itu, kerana tidak kisah kita dari negara mana tetapi kongsi makanan sama-sama macam sudah lama kenal.
Tak sangka sebenarnya dapat peluang sambut ramadhan dekat sini. Sebab penuh, tapi tu lah memang rezeki,” tambah Hidayah lagi.
JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK
Namun, ketika sibuk mengerjakan ibadah umrah dan mengejar pahala yang berlipat ganda ketika bulan puasa, dia tetap mengutamakan kesihatan diri kerana wabak COVID-19 itu masih jadi kebimbangannya.
“Cuaca di sini sangat panas, jadi kesihatan itu memang betul-betul saya titikberatkan. Di sekeliling saya pun sentiasa dipenuhi orang ramai.
“Di sini tiada sebarang SOP yang dikenakan seperti tidak perlu memakai pelitup muka dan sebagainya dan saf juga sudah dirapatkan.
“Namun, apabila ingin pulang ke Malaysia nanti, SOP yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia itu sedikit sebanyak memberi kelegaan buat saya untuk rasa lebih selamat sebelum balik berjumpa keluarga.
“Maknanya, jika ingin pulang ke Malaysia nanti, kami akan lakukan ujian saringan RT-PCR dan jika dilihat SOP ketika di dalam pesawat juga dikawal rapi kerana kami masih tetap memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan diri.
#umrah #Mekah #Ramadan #puasa #COVID-19 #Islam
;