Cari jawapan tiga persoalan utama revolusi pendidikan - Sultan Nazrin

Astro Awani
November 7, 2015 20:00 MYT
SULTAN NAZRIN: Falsafah asal pendidikan adalah untuk mengilmukan insan, mencapai status ekonomi lebih baik, sekali gus membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan. -Gambar fail
Tiga persoalan utama perlu dijawab ketika negara berhadapan revolusi pendidikan yang dikomersialkan dan bukan lagi bertujuan untuk pembangunan ilmu sejagat.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah bertitah huraian persoalan itu sekali gus menyelesaikan persoalan pengajian tinggi yang semakin bercanggah daripada falsafah asal pendidikan negara.
"Persoalan pertama, bagaimanakah kemudahan pengajian dapat diakses seramai mungkin pelajar. Kedua, bagaimana penyebaran ilmu dapat dioptimumkan penyebarannya seluas mungkin dan keseimbangan falsafah asal program pendidikan dengan kepentingan komersial.
"Satu anjakan sedang berlaku, satu revolusi sedang dicetuskan oleh pencinta tulen pendidikan yang tidak rela melihat pendidikan menjadi bahan komersial yang memberi kelebihan kepada kumpulan elit dan menidakkan peluang kepada kumpulan masyarakat yang berpendapatan rendah.
"Satu pendekatan radikal sedang rancak dirintis dan pendekatan radikal ini apabila berjaya akan meningkatkan pendemokrasian program pendidikan secara sejagat.
"Institusi pengajian tinggi tempatan tidak harus menjadi penonton yang pasif, di sebaliknya wajib mengikuti dinamik yang sedang berlaku ini secara aktif, sambil memikirkan pengubahsuaian dan adaptasi yang harus dilakukan," titah baginda dalam Majlis Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah, (KUISAS) ke-8 di Dewan KUISAS.
Titah baginda lagi, semuanya dapat memastikan tiada pelajar berlatarbelakangkan status sosio ekonomi rendah dinafikan peluang mendapatkan pelajaran disebabkan yuran pengajian yang di luar kemampuan.
"Falsafah asal pendidikan adalah untuk mengilmukan insan, mencapai status ekonomi lebih baik, sekali gus membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan.
"Ia berlaku apabila universiti di seluruh dunia kini terbahagi kepada klasifikasi universiti elit yang lazimnya dimiliki oleh badan amanah besar.
"Ia akan menjadikan tempat pengajian satu komoditi yang terhad bekalan, menjadi rebutan dan mengutamakan calon-calon dari latar belakang elit," titah baginda.
Senario itu jelas baginda menyebabkan anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah, perlu membuat pinjaman kewangan untuk membiayai pengajian tinggi.
Baginda juga bertitah, revolusi dalam penyediaan pendidikan yang mudah diakses, murah sedang rancak dirintis dan kaedah pembangunan sekarang adalah usang berikutan permintaan tinggi sebelum ini.
#pembangunan ilmu #revolusi pendidikan #sultan nazrin #Sultan Perak
;