Cari alternatif lain buat golongan rentan daftar masuk premis, kemas kini status COVID-19
Nickyson Nyambar
September 8, 2021 22:41 MYT
September 8, 2021 22:41 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk tampil dengan alternatif lain bagi membantu golongan rentan yang tidak mempunyai telefon pintar untuk mendaftar masuk ke sesebuah premis dan mengemas kini status COVID-19.
Keprihatinan itu disuarakan oleh Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee yang menerima maklum balas khasnya di kawasan beliau bahawa golongan itu berdepan cabaran untuk mendaftar masuk ke sesebuah premis meskipun sudah mendapat vaksin lengkap COVID-19.
Ujarnya, kebanyakan mereka terdiri dari golongan tidak berkemampuan dan warga emas yang tidak mempunyai telefon pintar.
"Walaupun saya tidak mempunyai masalah untuk menggunakan aplikasi MySejahtera sebagai alat utama kita untuk membantu mengesan kontak atau memaparkan status risiko COVID-19 dalam peperangan kita melawan wabak, tetapi pada masa yang sama, kita mesti menunjukkan rasa empati dan belas kasihan terhadap mereka yang tidak memiliki telefon pintar untuk melakukan daftar masuk atau kemas kini status yang diperlukan.
"Setiap rakyat Malaysia penting dalam krisis nasional ini, dan kita tidak boleh dilihat 'berdarah dingin' dan membuat golongan masyarakat kita yang rentan merasa tidak diingini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, pengenalan prosedur operasi standard (SOP) terkini jelas meninggalkan golongan rentan yang tidak mahir menggunakan teknologi mahupun untuk memiliki telefon pintar.
"Saya rasa adalah sangat tidak adil untuk memberitahu orang ramai bahawa mereka tidak dapat pergi ke mana-mana sekarang hanya kerana mereka tidak mempunyai telefon pintar yang boleh memuat turun dan menggunakan aplikasi MySejahtera.
"Tidak mudah bagi seseorang yang berumur 70 atau 80 tahun untuk beralih dari telefon lama yang telah lama dipakai ke telefon pintar baru, dan pada masa yang sama, tidak mungkin dan tidak adil untuk memaksa keluarga kumpulan berpendapatan rendah kita untuk memiliki telefon pintar untuk setiap orang dalam keluarga hanya untuk penggunaan MySejahtera yang mana beban kewangan ditanggung terlalu banyak oleh mereka," tambahnya lagi.
Oleh yang demikian, kerajaan harus merancang dan tampil dengan alternatif yang membolehkan golongan masyarakat itu hidup dalam norma baharu tanpa perlunya mendaftar menggunakan telefon pintar.
“Ini mungkin dapat disediakan dalam bentuk rantai kunci seperti token digital yang dapat dibawa di dalam poket dan memungkinkan seseorang mengimbas atau mendaftar masuk sebelum memasuki mana-mana kedai atau premis.
"Dengan kemajuan teknologi semasa, saya yakin kita dapat mengeluarkan alternatif untuk kumpulan masyarakat ini," jelas beliau.
Beliau dalam masa sama mahu kerajaan memastikan setiap bantuan dan sokongan diberikan secara efektif dan telus kepada seluruh rakyat ketika krisis kesihatan ini melanda negara.
"Tidak ada rakyat Malaysia yang harus ditinggalkan dalam perjuangan untuk bertahan dalam melawan pandemik global," katanya.