Cara terbaik memperingati Tunku dengan merealisasikan cita-cita beliau - Lim Kit Siang
Astro Awani
Februari 8, 2021 12:09 MYT
Februari 8, 2021 12:09 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan berjaya sebagai sebuah negara sehinggalah semua rakyat mengutamakan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia dahulu, sebelum identiti kaum atau agama mereka, kata veteran DAP, Lim KIt Siang.
Menyokong hujahnya, Kit Siang memetik kata-kata Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tentang perpaduan dan menjadikan negara ini sebuah tempat yang dicintai oleh semua dengan jaminan kebebasan, keselamatan, kemakmuran dan kegembiraan untuk semua di masa hadapan.
Menurut Kit Siang, Tunku Abdul Rahman juga berkata tidak ada sesiapa pun akan menerima sebuah negara yang mengasaskan pentadbiran politiknya kepada mana-mana agama dan tidak ada ruang untuk sebuah negara Islam bagi Malaysia yang mempuyai rakyat berbilang kaum dan agama.
"Cara terbaik untuk memperingati memori Tunku adalah dengan merealisasikan cita-cita beliau di mana tidak kiralah apa-apa kaum atau agama, yang penting kita semua adalah rakyat Malaysia.
"Amat menyedihkan apabila kita melihat kegagalan usaha pembinaan negara bangsa kita, di mana selepas enam dekad, negara kita masih dihantui dengan politik yang berfikiran sempit dan tidak bertoleransi yang berteraskan isu perkauman dan keagamaan.
"Malaysia tidak boleh berjaya sebagai sebuah negara sehinggalah semua rakyat Malaysia mengutamakan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia dahulu, sebelum identiti kaum atau agama mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dikeluarkan sempena memperingati hari kelahiran, Tunku Abdul Rahman yang ke-118 tahun.
Kit Siang menjelaskan tidak ada mana-mana pihak yang mahu rakyat Malaysia berhenti daripada menjadi seorang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, atau Muslim, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, atau Taoist.
Namun beliau menegaskan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa perlu bersama dan bersatu padu sebagai rakyat Malaysia.
"Kita perlu beringat kepada kata-kata Tunku, untuk Malaysia menjadi “sinar cahaya yang menerangi dunia yang kelam dan terganggu” dan menjadi contoh kejayaan Gabungan Tamadun dunia, di mana Malaysia menjadi pusat pertemuan empat kebudayaan besar dunia - Tamadun Islam, Cina, India, dan Barat - dan bukannya menjadi kegagalan akibat pertembungan di antara tamadun-tamadun ini," katanya.