Cara atasi mulut berbau semasa berpuasa
Astro Awani
April 5, 2022 16:00 MYT
April 5, 2022 16:00 MYT
REALITINYA sebilangan besar daripada kita sentiasa tidak selesa, risau dan malu apabila berhadapan dengan situasi mulut berbau.
Ramai yang panik sebetulnya lebih-lebih lagi bagi mereka yang perlu berurusan dengan orang ramai setiap hari.
Namun, dalam keadaan hari ini, mujur pelitup muka yang dipakai dapat sekurang-kurangya menghilangkan masalah yang disebut di awal artikel ini.
Suatu perkara yang perlu kita sedar ialah, mulut berbau bukanlah sesuatu yang asing dialami khususnya bagi mereka yang menjalani ibadah berpuasa.
Apa yang perlu kita ketahui ialah, antara penyebab bau mulut ketika berpuasa adalah keadaan mulut yang kering akibat tidak makan atau minum untuk satu tempoh yang lama.
Begitupun, tidak perlulah anda risau dan khuatir kerana setiap masalah pasti ada penyelesaiannya dan dalam artikel ini, Astro AWANI kongsikan tips agar mulut anda tidak berbau ketika berpuasa.
Panduan ini diperoleh daripada pelbagai sumber.
1. Jaga kebersihan mulut selepas sahur dan berbuka
Perkara paling penting, pastikan anda jaga kebersihan mulut dan jangan lupa untuk memberus gigi sesudah sahur dan berbuka.
Disarankan untuk anda menggunakan ubat gigi berfluorida. Memberus gigi akan membersihkan sekitar 60 peratus mulut anda dan oleh kerana itu, jangan lupa untuk bersihkan sisa makanan di celah-celah gigi juga.
Sisa makanan di celah gigi mampu menjadi punca bau mulut dan pastikan anda bersihkan lidah ketika memberus gigi.
2. Pantau makanan, minuman yang diambil
Ada makanan dan minuman sebenarnya mampu meningkatkan risiko anda mengalami masalah bau mulut, antaranya produk tenusu.
Elakkan minuman bersusu ketika sahur kerana ia mengandungi protein tertentu yang ketika terurai, boleh menyebabkan bau mulut.
Selain itu, jangan merokok, makan makanan yang sihat dan seimbang serta elakkan makanan pedas.
Elakkan juga minuman berkafein seperti kopi, teh, coklat dan soda terutamanya ketika sahur.
3. Gunakan ubat kumur/ cecair pencuci mulut
Penggunaan ubat kumur atau cecair pencuci mulut juga penting untuk mengelakkan mulut anda daripada berbau.
Dicadangkan kepada anda menggunakannya selepas bersahur dan berbuka untuk kesegaran berpanjangan.
Pada waktu siang ketika berpuasa pula, kurangkan penggunaannya kerana berkumur dengan kerap hukumnya adalah makruh.
4. Saranan untuk pemakai gigi palsu
Kepada anda memakai gigi palsu pula, anda sangat disarankan untuk membersihkan gigi palsu menggunakan larutan antiseptik sebelum tidur.
Usaha kecil itu sebenarnya boleh mengelakkan mulut anda berbau terutamanya ketika mula berpuasa keesokan harinya.
5. Jangan lupa minum banyak air selepas berbuka sampai sahur
Walaupun berpuasa, kita semua perlu memastikan pengambilan air yang cukup kerana tubuh memerlukan sekurang-kurangnya dua liter air sehari.
Air putih adalah pilihan terbaik ketika berpuasa dan alang-alang untuk hidrasi, anda juga boleh kurangkan pengambilan minuman manis untuk kesihatan.
Ketika berpuasa, amalkan dua gelas air putih ketika berbuka puasa, empat gelas selepas Maghrib sampai waktu moreh.
Kemudian, amalkan dua gelas ketika sahur. Selain itu, banyakkan juga makan buah-buahan yang mengandungi banyak air seperti tembikai untuk kekalkan hidrasi badan anda.
Hakikatnya, mulut berbau memang terjadi kepada mereka yang berpuasa namun cabaran itu hanyalah sedikit jika dibandingkan pahala, keberkatan dan rahmat di bulan Ramadan.