Capaian internet: MEASAT-CONNECTme NOW pertingkat ketersambungan di pedalaman
Madiha Abdullah
Februari 28, 2024 20:30 MYT
Februari 28, 2024 20:30 MYT
MIRI: Pandemik COVID-19 tiga tahun lalu tidak hanya menyedarkan kita tentang keperluan sistem penjagaan kesihatan yang baik, tetapi juga membuatkan masyarakat memahami bahawa akses internet bukan lagi satu kemewahan, sebaliknya satu keperluan.
Bukan sahaja untuk pendidikan dan pekerjaan, malah aktiviti ekonomi dan interaksi sosial berpindah ke ruang dalam talian, menjadikan sambungan internet yang stabil dan boleh diakses adalah satu kewajipan.
Bagi Penyedia Perkhidmatan Jalur Lebar Satelit, MEASAT, aspirasi jalur lebar nasional terus diberi sokongan melalui perkhidmatan jalur lebar satelit berkelajuan tinggi, CONNECTme NOW yang menyediakan akses internet kepada komuniti di kawasan luar bandar dan terpencil, serta lokasi yang tidak diliputi oleh sambungan 4G atau gentian.
Pengarah Kanan Jualan CONNECTme NOW, Kenneth Yong berkata, pasukan mereka berusaha menggerakkan sokongan bagi memastikan kawasan pedalaman mempunyai sambungan internet, dan kini mampu berbangga apabila berjaya memasang lebih 2,000 tapak hotspot CONNECTme NOW di Sarawak dan lebih 500 di Sabah.
"Kalau ikut strategi, kita akan pasang mengikut kepadatan penduduk. Kalau satu tempat ada 100 atau 200 penduduk tertumpu di satu tempat, kita akan beri perkhidmatan tetapi kalau rumah berserak jauh, itu satu cabaran kerana susah nak menarik penduduk untuk dapatkan perkhidmatan.
"Tetapi berdasarkan pengalaman, walaupun ada penduduk tinggal jauh dari hotspot tapi dia sanggup berjalan kaki, sama seperti mereka berjalan kaki berbatu jauh, naik bukit untuk dapat talian telefon. Kerana itu kami tekad usaha yang terbaik," katanya.
Jelas Kenneth, CONNECTme NOW bukan sahaja tentang teknologi, tetapi juga tentang memahami keperluan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan mereka.
"Kami akan cuba sedaya upaya untuk menyediakan sambungan kerana sambungan hanyalah sebahagian kecil dalam memanusiakan teknologi. Sudah tentu pengguna juga perlu disertakan dengan peranti yang betul dan kami menyediakan sambungan kepada mereka. Kami sedang membina beberapa perkhidmatan lain kerana kami mahu mereka untuk menikmati perkhidmatan seperti membeli barangan dalam talian.
"Kami sedang melakukan yang terbaik untuk menghasilkan aplikasi supaya penduduk di kawasan luar bandar juga boleh menikmati perkara yang sama seperti penduduk bandar, sebagai contoh konsep e-dompet, malah kami juga sedang meneliti perkhidmatan telekesihatan bagi memudahkan pengurusan kesihatan," ujarnya.
Tambahnya lagi, MEASAT menerusi CONNECTme NOW muncul salah satu pengendali satelit yang paling kukuh di rantau Asia Pasifik, dengan pelaburan lebih RM8 bilion dalam infrastruktur komunikasi satelit sepanjang 30 tahun yang lalu.
Terbaharu, mereka bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan (DOSM) Sarawak untuk menyantuni dan membantu penduduk Kg Long San Telang Usan, Baram, Miri, bagi proses kemas kini maklumat ke dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Bagi penduduk kampung, perkhidmatan CONNECTme NOW yang digunakan sejak kira-kira empat tahun lalu, sangat membantu khususnya dalam urusan pekerjaan dan persekolahan.
Ia juga membantu menghubungkan mereka dengan orang tersayang, terutama anak-anak muda yang kini sudah berhijrah ke bandar Miri yang terletak kira-kira enam jam perjalanan.
"Sebelum ini kita menghadapi kesukaran mengajar dalam kelas dan aplikasi PDPR abad ke 21, kebanyakan guru generasi sekarang celik ICT jadi mereka suka gunakannya dalam kelas.
"Untuk pentadbir sekolah juga perlu internet dalam kerja seharian, contoh guru kelas nak masukkan data murid dalam talian, atau apa-apa data yang diminta pejabat pendidikan atau kementerian.
"Selepas adanya CONNECTme NOW, masalah capaian internet dapat diatasi dan kami boleh lebih kreatif, guru boleh guna aplikasi dan permainan yang boleh tarik perhatian murid," kata guru di SK St Pius, Long San itu.
"Semasa pandemik kelas dibuat dalam talian jadi cikgu guna CONNECTme NOW, untuk menyampaikan apa yang diajar.
"Selepas sekolah dibuka, kita guna modal sendiri untuk guna CONNECTme NOW bagi menjalankan aktiviti pentadbiran, dan tahun lepas kami mohon dari kementerian untuk bekalkan CONNECTme NOW. Sekarang kami dapat bekerja dengan lancar," kata Florance Beremas yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di sekolah yang sama.
Bagi pemilik kedai runcit yang juga menjual prabayar CONNECTme NOW, Emmy Usun Lawrence, perkhidmatan internet tersebut memberi kemudahan untuk pelanggannya membuat bayaran.
"Pelanggan kedai ada opsyen untuk buat bayaran secara online transfer jadi lebih memudahkan lagi urusan.
"Sambutan terhadap CONNECTme NOW memang baik kerana talian telefon di sini juga tidak begitu baik, jadi penduduk perlukan talian internet," katanya.