Capai visi negeri maju, Sarawak contohi Estonia dan Korea Selatan
Astro Awani
Disember 16, 2020 20:37 MYT
Disember 16, 2020 20:37 MYT
KUCHING : Kejayaan negara Estonia dan Korea Selatan dijadikan kayu ukur bagi Sarawak mencapai visi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan kedua-dua buah negara itu menakluki pelbagai bidang khususnya dalam kemajuan teknologi wajar dicontohi dan diimplementasikan di Bumi Kenyalang.
"Sarawak boleh mengikut jejak negara Estonia dari segi teknologi aplikasinya dan mengikuti jejak Korea Selatan dari aspek kualiti rakyatnya yang berinovasi tinggi.
"Kalau kita gabungkan kejayaan kedua-dua Estonia dan Korea Selatan ini, di mana kita menekankan teknologi sementara dilengkapi sumber yang kita ada, saya yakin Sarawak dapat mencapai status negeri maju menjelang 2030," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah SCSICA 2020 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Jelas beliau, Estonia adalah merupakan sebuah negara yang kecil di Eropah tetapi mampu bergerak ke hadapan dalam teknologi.
Sementara itu, Korea Selatan katanya, dahulunya berada di belakang Malaysia tetapi kini jauh ke hadapan dari negara ini dari segi modal insannya yang berinovasi.
"Saya dan rakan mahu menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang memfokuskan digitalisasi, iaitu satu-satunya negeri yang akan memberi penekanan kepada teknologi dalam perkhidmatan kita sekali gus merapatkan jaringan rakyat dan kerajaan.
"Maka itu jika menjadikan dua negara ini sebagai bandingan, saya pasti Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2030 dan ini adalah harapan saya agar kita mempunyai jaminan masa depan yang cerah," katanya pada majlis yang sama.
Berkenaan majlis tersebut, ujar Abang Johari tema 'Innovation for Service Delivery Excellence' yang dipilih bagi Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2020 seiring dengan agenda dan matlamat kerajaan negeri.
Oleh yang demikian, setiap penjawat awam di Sarawak digalak memperkasakan budaya inovasi dalam kalangan mereka serta dalam masa yang sama, memacu negeri ini menjadi sebuah negeri yang disegani dalam dan luar negara.
#Visi Negeri Maju 2030
#Sarawak
#Ketua Menteri Sarawak
#Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg
#Sarawak contohi Estonia dan Korea Selatan
#Anugerah SCSICA 2020
#estonia
#Korea Selatan