Capai kedudukan 20 terbaik dunia dalam GII menjelang 2050 - TPM

Wan Syamsul Amly
Oktober 12, 2017 08:00 MYT
AHMAD ZAHID: Keupayaan untuk memanfaatkan STI kritikal untuk mengatasi cabaran masa hadapan dan banyak permasalahan memerlukan teknologi sebagai jalan penyelesaian. - Gambar fail
Kerajaan dan swasta harus bekerjasama untuk negara mencapat kedudukan ke 20 terbaik dunia dalam Laporan Indeks Inovasi Global (GII) menjelang tahun 2050.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia tidak mustahil dicapai dengan komitmen semua dalam memanfaatkan dunia sains, teknologi dan inovasi (STI) terus kepada manfaat masyarakat.
Jelasnya, bantuan atau dana kerajaan dalam hal-hal berkaitan penyelidikan dan pembangunannya (R&D) STI juga digunakan sepenuhnya untuk memastikan hasrat itu direalisasikan.
"Kini Malaysia di tangga ke 37 daripada 127 negara dalam Global Inovation Index 2017.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menggarap pada tahun 2050, kita berada di tahap ke 20 tapi langkah yang dilakukan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), saya yakin tangga 20 akan tercapai sebelum 2050, ini saya dapat perhati dan lihat," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Ekspo Ekonomi Kreatif dan Inovasi Kebangsaan 2017 (NICE 2017) di Taman Teknologi Malaysia (TPM) di sini, hari ini.
NICE 2017 ialah pameran sains, teknologi dan inovasi terbesar di Malaysia.
Ia berlangsung selama lima hari bermula Khamis di TPM, Pusat Sains Negara dan Planetarium Negara.
Ia selaras dengan sasaran agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk menyemarakkan ekonomi kreatif dan inovasi dalam STI, di samping menggalakkan pembangunan Ekonomi Baru Negara.
NICE 2017 menjadi platform untuk mempamerkan program dan kegiatan berkaitan dengan STI. Pengisian program itu terbahagi kepada lima kluster utama iaitu teknologi, didik hibur, teknologi komunikasi maklumat, kesejahteraan dan pengetahuan.
Ekspo yang dijangka menarik kehadiran 500,000 pengunjung akan meneruskan kesinambungan kejayaan MOSTI dalam menyediakan platform untuk memacu kapasiti Malaysia dalam inovasi dan kreativiti berasaskan STI, di samping mempromosikan kelestarian dan daya saing dalam ruang yang sama.
Dalam pada itu kata Ahmad Zahid, peningkatan penduduk dunia merupakan cabaran yang akan mengakibatkan peningkatan permintaan kepada sumber bekalan makanan, air bersih, keperluan perumahan dan pekerjaan.
"Keupayaan untuk memanfaatkan STI kritikal untuk mengatasi cabaran masa hadapan dan banyak permasalahan memerlukan teknologi sebagai jalan penyelesaian.
"Bagi memastikan negara berupaya mengarusperdanakan STI pada semua peringkat dan sektor, kita perlu mengambil kira aspek STI dalam setiap penggubalan dasar negara bagi memastikan STI dimanfaatkan sepenuhnya dalam setiap program yang dilaksanakan.
"Oleh itu, saya meminta semua kementerian mengambil tindakan sewajarnya berkaitan perkara ini. Saya juga difahamkan MOSTI sedang merangka Pelan Induk STI Negara dan Dasar STI menjangkau tempoh 10 tahun sehingga 2030," katanya.
#R&D #STI #Transformasi Nasional 2050 #Zahid Hamidi