Capai ekuiti Bumiputera 30% sebelum tuntut dinaikkan - Ahmad Maslan
Teoh El Sen
Mei 29, 2013 17:43 MYT
Mei 29, 2013 17:43 MYT
Ekuiti 30 peratus Bumiputera perlu dicapai dahulu sebelum mahu menuntut sasaran yang lebih tinggi, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.
Beliau mengulas kenyataan Perkasa yang mahu menaikkan sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera kepada 60 peratus.
“Ada 67 peratus golongan bumiputera di Malaysia dan sasaran untuk mencapai sasaran 30 peratus ekuiti masih belum tercapai. Kita perlu capai sasaran 30 peratus dahulu sebelum memikirkan sasaran yang lebih tinggi” kata Ahmad.
“Adalah lebih baik sekiranya peratus pemilikan ekuiti boleh dicapai dengan mengambil alih ekuiti warga asing” tambah Ahli Parlimen Pontian itu.
Beliau turut berkata formula agihan ekuiti sedia da adalah adil kepada semua kaum, malah adalah satu dasar yang baik, namun itu kata beliau hanyasatu pandangan peribadi semata-mata.
Semalam, portal berita The Malaysian Insider memetik kenyataan Pemangku Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Abu Bakar sebagai berkata bahawa kumpulan sayap kanan Melayu itu akan mensasarkan tuntutan 60 peratus pemilikan ekuiti dan kuota Bumiputera untuk kemasukan ke universiti awam.
Abd Rahman memberi alasan bahawa sokongan pengundi Melayu terhadap Barisan Nasional telah meningkat pada Pilihan Raya Umum ke-13 baru-baru ini.
"Untuk itu masyarakat Bumiputera perlu diberi keutamaan di negara ini," kata Abd Rahman.