CAP saran kecilkan saiz makanan percuma ketika Thaipusam, elak pembaziran

Bernama
Februari 7, 2025 19:10 MYT
N.V. Subbarow berkata setiap tahun sekurang-kurangnya 50 tan sisa makanan dibuang ketika perayaan itu. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi amal digesa mengurangkan saiz makanan percuma yang akan diedarkan semasa sambutan Thaipusam pada 11 Feb ini bagi mengelakkan berlaku pembaziran.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) N.V. Subbarow berkata setiap tahun sekurang-kurangnya 50 tan sisa makanan dibuang ketika perayaan itu.
"Selain itu, CAP juga menyeru pengurusan kuil di seluruh negara yang menyambut Thaipusam supaya menghapuskan penggunaan plastik dan bekas makanan polistirena semasa menghidangkan makanan kepada penganut," katanya di sini hari ini.
Subbarow berkata peningkatan sisa plastik menjadikan isu pencemaran lebih kritikal terutama jika semakin ramai orang menggunakan bahan itu.
Beliau berkata pencemaran plastik telah menjadi ancaman alam sekitar yang paling mendesak kepada manusia dan bumi.
"Ancaman daripada pengeluaran dan penggunaan plastik sekali guna amat serius dan membimbangkan kesihatan awam serta alam sekitar," katanya.
Beliau berkata alternatif kepada plastik sekali guna ialah peralatan yang boleh digunakan semula seperti perkakas yang boleh dibasuh, daun yang digunakan sebagai pinggan makan dan pembungkus makanan atau membawa bekas sendiri untuk mengisi makanan.
-- BERNAMA
#CAP #Thaipusam #makanan percuma #saiz hidangan
;