CAP gesa kerajaan haramkan vape
Astro Awani
November 6, 2015 17:14 MYT
November 6, 2015 17:14 MYT
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan terus vape bagi menghalangnya menjadi budaya di kalangan rakyat negara ini.
Pegawai Pendidikannya, N.V. Subbarow berkata, ia juga tidak berbeza dengan rokok kerana boleh menyebabkan ketagihan seterusnya membahayakan kesihatan.
"Kerajaan perlu sentiasa mengutamakan aspek kesihatan rakyat walaupun vape mungkin menjana hasil cukai kepada negara.
"Mengenai cukai pula, walaupun cadangan itu baik tetapi kalau ikut cadangan cukai itu prosesnya lambat dan mungkin pegawai pengutkuasa dan beberapa pegawai perlu mengambil masa sedangkan e-rokok dan vape ini tidak terkawal sekarang sehubungan itu kita rayu kerajaan haramkan terus vape ini," katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.
Tegasnya, ia kerana perisa yang terkandung dalam cecair rokok elektronik mempunyai nikotin yang juga bahan terkawal.
Dalam pada itu kata Subbarow, pihaknya juga menerima aduan daripada ibu bapa dan guru beberapa sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang berkenaan peningkatan penggunaan vape di kalangan pelajar.
"Masalah sama turut disuarakan pengusaha restoran dan premis makanan berikutan rungutan pelanggan yang tidak selesa dengan asap vape.
"Kerana itu kerajaan perlu bertindak tegas untuk membendung gejala perokok tegar di negara ini. Namun sekiranya kerajaan mahu meneruskan cadangan mengenakan cukai eksais terhadap vape , kerajaan perlu memperhalusi dan mengetatkan undang-undang sedia ada," jelasnya.
Sementara itu tegasnya, sehingga kini, hanya Kementerian Kesihatan sahaja yang tidak bersetuju dengan penggunaan vape.
"Saya harap sokongan yang sama akan dizahirkan beberapa kementerian berkaitan seperti Kementerian Pelajaran serta Kementerian Belia dan Sukan.
"Mungkin kita CAP akan menulis surat keapda Ahli Parlimen untuk mereka bangkitkan isu ini di Kabinet selain menunjukkan bukti risikonya seandainya ia terus dibenarkan," katanya.
Katanya lagi, penggunaan rokok elektronik sebelum ini sudah diharamkan di Singapura, Argentina, Brazil, Kemboja, Mexico, Nicaragua, Panama, Qatar, Seychelles dan Turki.