CAP gesa haramkan gula-gula bentuk vape, picagari untuk lindungi kanak-kanak

Bernama
Mac 8, 2025 15:00 MYT
Subbarow menunjukkan gula-gula menyerupai alat vape dan jarum suntikan sebenar, dengan rekaan warna-warni yang menarik perhatian kanak-kanak. - Gambar/ Bernama
GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengesan kemunculan gula-gula berbentuk peranti vape dan jarum suntikan membanjiri pasaran tempatan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap normalisasi tabiat merokok dalam kalangan kanak-kanak.
Pegawai Pendidikan CAP N.V Subbarow berkata trend itu dilihat semakin membimbangkan kerana produk berkenaan menyerupai alat vape dan jarum suntikan sebenar, dengan rekaan warna-warni yang menarik perhatian kanak-kanak.
"Corak dan reka bentuk gula-gula ini boleh mendorong kanak-kanak meniru tabiat merokok apabila meningkat usia. Lebih membimbangkan, ada yang direka seperti jarum suntikan, menyerupai picagari yang sering dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah.
"Gula-gula ini bukan sekadar manisan biasa, tetapi boleh menjadi titik permulaan kepada ketagihan vape dan rokok. Ibu bapa mungkin tidak menyedari risiko ini dan membelinya untuk menenangkan anak-anak mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, fenomena ini bukan sahaja membahayakan kesihatan, malah boleh membentuk tabiat mengendalikan peranti menyerupai rokok elektronik sejak usia seawal tujuh tahun.
Subbarow berkata pihaknya bimbang jika tanpa kawalan produk gula-gula itu yang memasuki pasaran tempatan sejak enam bulan lalu dan semakin popular dalam kalangan kanak-kanak meningkatkan risiko ketagihan terhadap vape serta rokok pada usia muda.
"Tanpa kawalan, lebih banyak produk serupa akan membanjiri pasaran. Jika dibiarkan, kanak-kanak yang membesar dengan gula-gula berbentuk vape ini mungkin akan beralih kepada produk sebenar seperti e-rokok dan rokok konvensional.
"Kami menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengharamkan penjualan produk ini demi kesihatan generasi akan datang," katanya.
-- BERNAMA
#CAP #vape #picagari #Kanak-kanak
;