Cap dagang 'Harimau Menangis' belum lulus, jangan dahului MyIPO - KP
Bernama
Januari 13, 2021 06:19 MYT
Januari 13, 2021 06:19 MYT
KUALA LUMPUR: Permohonan cap dagang bagi jenama 'Harimau Menangis' oleh Syarikat Noor Khan Enterprise masih di peringkat pemeriksaan, kata Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Datuk Mohd Roslan Mahayudin.
Justeru, beliau berkata jenama yang dimohon pemilik syarikat itu, Noor Kartini Noor Mohamed belum diluluskan MyIPO dan menjadi hak eksklusif beliau.
Mohd Roslan memaklumkan pemohonan Noor Kartini bagi mendaftarkan jenama itu diterima MyIPO pada November tahun lepas dan kelulusannya bergantung kepada hasil pemeriksaan serta pertimbangan agenssi tersebut.
"Sehubungan itu, Noor Kartini diminta untuk tidak mendahului keputusan MyIPO dengan mendakwa bahawa jenama 'Harimau Menangis' telah didaftarkan sebagai cap dagangan dan menjadi hak eksklusif beliau.
"MyIPO akan memproses permohonan beliau seperti biasa iaitu sebarang keputusan yang dibuat adalah berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada," menurutnya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Sejak semalam, tular di media sosial usahawan itu mendakwa jenama 'Harimau Menangis' bagi produk keluarannya telah didaftarkan dan beliau mempunyai hak eksklusif ke atas cap dagangan nama tersebut.
Dakwaan usahawan itu, yang merupakan ibu selebriti Neelofa, mendapat perhatian warganet yang rata-rata menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan memandangkan sudah ramai menggunakan nama resepi masakan berasaskan daging 'Harimau Menangis' dalam produk mereka.
-- BERNAMA