CAP cadang hukuman lebih berat pesalah cemar alam sekitar

Bernama
Disember 27, 2019 20:32 MYT
GAMBAR FAIL: Cecair berbuih putih dilepaskan melalui saluran paip ke Sungai Keluang berdekatan dengan zon perindustrian Bayan Lepas. - BERNAMA
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta kerajaan meminda undang-undang berkaitan pencemaran alam sekitar bagi mengenakan hukuman berat terhadap pesalah yang melakukan perbuatan itu, terutama yang berkaitan pembekalan air.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata perbuatan mencemarkan alam sekitar dan bekalan air adalah sama seperti melakukan kesalahan jenayah meracuni penduduk dan menyebabkan ketidakselesaan kepada mereka yang terjejas.
"Disebabkan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang mencemarkan alam sekitar dan bekalan air, ramai penduduk terjejas sehingga mereka terpaksa mengangkut air untuk penggunaan harian daripada sumber lain. Jadi, CAP mencadangkan pesalah perlu diajar bahawa perbuatan jenayah tidak akan terlepas begitu sahaja," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata sumber bekalan air mudah terjejas akibat pencemaran dan sabotaj sehingga memberi kesan yang begitu teruk terhadap masalah bekalan air di Selangor yang membekalkan air kepada lebih lapan juta pengguna di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Menurutnya kejadian pencemaran air di beberapa sungai di Selangor pada tahun ini menyebabkan loji rawatan air terpaksa ditutup yang seterusnya mengakibatkan jutaan penduduk di kawasan itu terputus bekalan air.
Mohideen berkata masalah yang berlaku sekarang adalah kerana kurangnya perlindungan terhadap sumber air selama berdekad sehingga beberapa ratus kilang ditempatkan di sepanjang rizab sungai menyebabkan mereka dengan mudah membuang sisa ke sungai.
Menurutnya selain itu terdapat keperluan untuk memasang saluran paip air mentah dari empangan Semenyih ke loji rawatan air demi melindungi bekalan air mentah untuk kepentingan semua pihak.
-- BERNAMA
#bekalan air Selangor #CAP #hukuman berat #pembekalan air #pencemaran alam sekitar #Persatuan Pengguna Pulau Pinang
;